BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Aliza Ali LIVE at TV1 News

Aliza Ali LIVE at TV1 News
Temubual Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPKK Sabah 2011

13 December 2010

Usia bukan sekadar angka!

Hairan dengan sikap sesetengah orang yang suka menyembunyikan tahun kelahiran. Kononnya khuatir orang tahu usianya semakin tua. Lebih teruk lagi, ada yang enggan menerima hakikat dengan berkata "Age is just a number".


Bagi AA, USIA BUKAN SEKADAR ANGKA sebaliknya usia menggambarkan kematangan diri dalam menjalani hidup di dunia yang serba mencabar ini. Jika diamati, peningkatan usia setiap tahun adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada hamba-Nya untuk terus hidup dan mencari hidayah-Nya.

Bagi yang berkesempatan untuk 'bertemu' dengan hari ulang tahun kelahiran, bersyukurlah dengan hari yang meraikan kematangan diri anda. Berjanjilah untuk terus mematangkan diri dengan menjalani hidup secara lebih rasional. 

Mengakui hakikat usia yang semakin meningkat juga secara tidak langsung mengingatkan kita tentang kematian. Sesungguhnya, jasad ini hanyalah pinjaman semata-mata dan kita akan kembali kepada-Nya bila tiba waktu itu. Peringatan tentang mati lazimnya berupaya menimbulkan keinsafan pada diri kita sekaligus takut melakukan larangan-Nya.

Secara peribadi, usia yang meningkat setiap tahun bagi AA adalah istimewa kerana ulang tahun kelahiran adalah 'penutup usia terdahulu dan pembuka usia seterusnya' lebih-lebih lagi kita tidak pernah tahu bilakah 'penutup usia terakhir' masing-masing.

Sempena ulang tahun kelahiran kali ini, AA mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada suami, ibu bapa dan semua yang mengenali diri AA atas segala keterlanjuran kata dan tingkahlaku AA terhadap kalian. Sesungguhnya AA hanya insan biasa yang serba kekurangan dan tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan sama ada yang disengajakan apatah lagi yang tidak disengajakan.

Maafkanlah,

Aliza Ali

10 December 2010

Qadiani - Tidak Seindah Nama

Tidak seindah nama... Qadiani merupakan satu ajaran yang hampir menyerupai ajaran Islam tetapi sebenarnya terkeluar daripada Islam. Ajaran yang turut menggunakan Al-Quran sebagai kitab rujukan dan menganjurkan sembahyang Jumaat ini bagaimanapun difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan 1976 sebagai terkeluar daripada Islam.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Amri Suratman sehubungan itu menasihatkan umat Islam menjauhi ajaran yang bercanggah dengan Islam ini. Katanya, mereka yang ingin mendalami ajaran Islam boleh mempelajarinya daripada pegawai-pegawai JHEAINS yang bertauliah.

Ajaran Qadiani yang berasal dari Negara India ini telah bertapak di Sabah lebih sedekad lalu, malah ada penduduk tempatan sudah menjadi pengikut ajaran Qadiani yang semakin merebak di seluruh negeri. Bagaimanapun, usaha sedang dijalankan di peringkat kebangsaan untuk mengkaji semula fatwa terhadap Qadiani sama ada ia kekal sebagai ajaran bukan Islam atau menyeleweng ajaran Islam.