BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Aliza Ali LIVE at TV1 News

Aliza Ali LIVE at TV1 News
Temubual Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPKK Sabah 2011

22 February 2010

Kenapa SABAH masih mengalami kekurangan infrastruktur asas?

1 Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sejauhmana gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak ini dapat meyakinkan rakyat terhadap kesungguhan Kerajaan dalam membawa perubahan? Sejak Datuk Seri Najib memegang tampuk kepimpinan negara, banyak dasar baharu yang diperkenalkan. Semuanya untuk rakyat tetapi benarkah rakyat merasai keberkesanan dasar itu? YA, jika rakyat menerima apa yang dikehendaki dan TIDAK, jika apa yang diterima itu lebih menyukarkan. AA cuba meninjau keadaan penduduk di beberapa daerah di Sabah yang masih tidak mendapat kemudahan asas (air) secara konsisten. Terdetik juga di hati, kenapa kemudahan yang diberikan Kerajaan bersifat on-off, tidak berterusan? Kenapa perlu catuan air sedangkan loji baharu siap dibina sudah boleh beroperasi (tapi tidak sepenuhnya)? Bila ditanya, jawapan bagi dua daerah itu sama; saluran paip pecah adalah di luar jangkaan. Persoalannya, kenapa perkara di luar jangkaan yang pernah berlaku di daerah pertama berulang di daerah kedua? Tidakkah pihak bertanggungjawab melakukan post-mortem selepas sesebuah projek pembangunan? AA ingin sekali mendapat penjelasan mengenainya. Dan, AA juga ingin mengetahui kenapa loji baharu yang siap dibina tidak disertakan dengan pembinaan paip saluran bawah tanah untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan memerlukan? Kenapa perlu dilakukan secara berasingan sehingga timbul masalah lain? Mangsanya, penduduk di daerah-daerah berkenaan.

19 February 2010

Berita Nasional (Sabah) 0700hrs 19 Februari 2010 terpaksa dibatalkan?

Hari ni, AA ke pejabat lebih awal daripada biasa iaitu pukul 5.18-subuh. AA dijadualkan untuk menyampai berita Sabah dalam Berita Nasional 7 pagi. AA ke studio seawal 5.30-subuh untuk bersiap. Malangnya, atas sebab teknikal di studio, kami tidak dapat bersiaran...

17 February 2010

LINTAS LANGSUNG AD HOC

Kelmarin, AA ditugaskan untuk membuat laporan langsung dari Dewan KDCA, Penampang untuk Berita Semasa 12 tengahari sempena Majlis One Malaysia Gong Xi Fa Cai. Walaupun maklumat mengenai majlis itu agak terhad, AA dan seluruh kru penerbitan yang dipimpin Penerbit, Narry Lako berjaya melakukannya. Lintas langsung pertama diisi dengan temubual bersama Pengarah Urusan XPL Global Sdn Bhd, En. J.S.Ling selaku penganjur majlis. Selesai sahaja lintas langsung itu, Puan Jumaahtun dari Angkasapuri pula meminta kami untuk berlintas langsung sekali lagi pukul 1 tengahari. Sekali lagi, kami agak ketandusan maklumat mengenai majlis itu. Lintas langsung kedua, kami menebual 2 orang Pengurus Pemasaran Eksekutif XPL Global Sdn Bhd, Ling Ming Pian dan Goh Lay Keng. Kira-kira 4-minit sebelum LIVE, barulah kami diberitahu yang majlis itu bukan anjuran XPL Global Sdn Bhd (walaupun dalam banner di pentas utama tertulis dengan jelas Organized by : XPL Global Sdn Bhd)! Majlis itu rupanya anjuran Lambai Limbai RTM Sabah yang akan bersiaran langsung 2.05 petang itu. Semuanya berlaku dengan pantas dan penuh ad hoc tapi sekurang-kurangnya kami sudah melakukan yang terbaik.

11 February 2010

AA Sendiri Lagi...

Alaaa... Bukan tak biasa keluar buat liputan sorang-sorang cuma sunyi dan rasa macam tak lengkap. Dah la sampai awal (orang pertama di lokasi), sorang-sorang pula tu. Ketidakbiasaan itu menjadikan AA kurang ceria di lokasi liputan tadi tapi tidaklah sampai membataskan pergaulan dengan rakan2 media lain serta pihak penganjur. Ntah la, mungkin dah biasa kerja secara berpasukan, jadi bila sendiri, rasa x best LANGSUNG! Walaupun adakalanya kurang senang dengan karenah rakan sepasukan tapi ketiadaan tetap dirasai. Lebih2 lagi bila dapat tahu juru kamera Mohammad Haji Ali (MA) akan bertukar unit atas faktor kesihatan, Mac ni. Maklumlah, MA selalu juga keluar buat liputan dengan AA, selalu juga bercerita itu dan ini... Macam mana la kalau MA tidak lagi keluar bersama kami untuk buat liputan lagi? Sedikit sebanyak, memang terasa juga. :( Tapi, kalau itu yang terbaik untuk MA, kami doakan saja supaya lebih sihat dan ceria nanti. Eh... Cerita MA pula ni. Hehehe... OK la, sekejap lagi AA tidak akan sendirian. AA akan keluar dengan kawan-kawan BES yang dijemput hadir ke Jamuan Tengahari Media bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin. Chow...

09 February 2010

Tugas wartawan 'kacang'?

Siapa kata tugas wartawan penyiaran mudah? Siapa pula kata susah? :) Dalam dunia ini, tidak ada perkara yang senang atau susah. Semua tu sendiri yang menentukan tahap kepayahannya. Bagi AA, perkara sukar akan menjadi mudah jika kita berfikiran positif mengenainya. Sebaliknya, perkara mudah akan menjadi sukar jika kita gagal mengawal minda yang berfikiran negatif mengenainya. Tahap pemikiran positif atau negatif juga begitu subjektif sifatnya sehinggakan kita kadang-kala tidak menyedari dalam situasi manakah kita berada. Setiap hari, Ketua Pemberita (CR) akan menentukan tugasan untuk liputan untuk kami, para wartawan bertugas. Semasa di lokasi, tugas seorang wartawan adalah untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai peristiwa atau isu berbangkit untuk dijadikan bahan berita. Dalam perjalanan pulang ke pejabat, minda kami ligat mencanai fakta (menurut penyunting berpengalaman, Haji Othman Abd Hamid) untuk membentuk berita. Setibanya di pejabat, papan kekunci komputer menjadi benda pertama yang disentuh. Sebaik-baiknya, kurang setengah jam, wartawan perlu menyiapkan skrip berita untuk diserahkan kepada penyunting sebelum boleh disiarkan. Tapi kadang-kala kekangan tertentu menyebabkan wartawan hilang tumpuan. Ini termasuk faktor kesihatan, emosi, lapar, kebisingan dan banyak lagi la. Lepas siapkan skrip berita, belum boleh 'lari' lagi, mana la tau jalan cerita kita tu tidak memuaskan hati editor, memanglah editor melenting! Tapi tak apa, itu sebahagian daripada proses peningkatan prestasi. :) Positif ja. Berita sudah siap disunting pun, wartawan belum boleh 'chow' lagi. Kena buat voice over atau rakaman suara latar lagi (untuk TV) la. Lepas tu, boleh blah. TAPI!!! Kalau jadi reader, ada lagi... Kena semak skrip pembaca sebelum ke studio berita untuk disolek dan didandan. Hasilnya? Anda tengok la di TV. ;P

08 February 2010

"AA, kenapa diorang buat macam tu?"

Maafkan AA jika tidak dapat menjelaskan jawapannya. Apa yang mampu AA katakan, ia di luar bidang kuasa AA. Tanggungjawab AA hanya datang ke studio seawal 5.30-pagi untuk disolek. Selebihnya adalah tugas juru solek (dan juru dandan) serta seluruh kru penerbitan. Di studio, AA cuma penggerak, bukan penentu. Kalau elok pada pandangan penerbit, tiada yang akan membantah. Panggilan sejurus selepas selesai siaran berita (sama ada Nasional atau Wilayah) adalah perkara biasa bagi AA. Dan, bagaikan ahli nujum, AA sudah tahu maksud panggilan itu; untuk memberi pendapat tentang penampilan AA semasa siaran berlangsung. AA hargainya tapi jauh di sudut hati AA, alangkah baiknya jika pendapat itu boleh disalurkan terus kepada penerbit berita sendiri, atau paling tidak pun juru solek (dan dandan). Mungkin blog ini boleh menjadi saksi betapa penonton kesayangan AA mengkritik hebat penampilan AA dalam TV. Itulah yang diharapkan; anda menghantar komen mengenai sebarang isu yang dibincangkan menerusi post-post terkini AA. Terima kasih!

07 February 2010

AA : Wartawan atau pelajar?

Siapalah AA... Sekadar wartawan setahun jagung yang sedang dicungkil bakatnya. Tidak pernah terniat oleh AA untuk menceburi bidang kewartawanan. Sejak di bangku sekolah, prestasi AA khususnya dalam subjek bahasa memang kurang bermasalah. Mungkin sebab AA didedahkan oleh ibu bapa dengan penggunaan bahasa yang betul, tidak kiralah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Cina. AA juga amat berterima kasih sebab memiliki seorang abang saudara iaitu Vun Dat Sang yang sudi mengajar AA dalam subjek Bahasa Inggeris. Beliau yang sebelum itu menyambung pengajian tinggi di Singapura membekalkan buku-buku dan bahan rujukan berguna sepanjang 2-tahun mengajar AA. Beliau jugalah yang mendidik AA untuk menghargai kewujudan kamus sebagai rujukan terpenting. Di sekolah, AA cukup aktif dalam bidang penulisan, debat dan pertandingan-pertandingan anjuran Persatuan Bahasa (Melayu dan Inggeris). AA juga berani meletakkan target untuk mendapat A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk subjek itu. Dan, hasilnya, AA berjaya mencapainya. Berbekalkan prestasi yang baik dalam penguasaan tri-lingual dan keputusan SPM serta Diploma dalam Teknologi Maklumat (PTPL Sabah), AA kemudiannya memohon jawatan Penerbit Rancangan. Lulus dalam ujian bertulis, amali dan temuduga untuk jawatan itu telah melayakkan AA. Setelah 2-tahun berkhidmat di RTM KK, AA kemudiannya meneruskan hasrat lama AA untuk menyambung pengajian ke Peringkat Ijazah dalam bidang Komunikasi, sesuai dengan keperluan jabatan. AA memilih Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama 4-tahun yang akan berakhir 2012. Buat masa ini, AA masih merupakan pelajar hujung minggu selain kekal sebagai wartawan penyiaran. :)

05 February 2010

AA jadi bahan eksperimen?

Betulkah? Kenapa? Tak percaya? Itu hakikatnya. Setiap kali AA muncul di TV, ada sahaja luahan tidak puas hati penonton terhadap penampilan AA. Secara peribadi, memang AA sakit hati dengan kritikan telus itu tapi AA akur... Semua itu demi kebaikan malah AA akui kebenaran kritikan itu. Mungkin AA tidak photogenic atau mungkin juga ada sebab lain. AA tidak pasti... Tidaklah AA mahu menyalahkan mana-mana pihak memandangkan kesemua mereka memang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing. Untuk pengetahuan semua, kritikan anda turut AA panjangkan kepada juru solek dan dandan di jabatan ini dan mereka sering melakukan penambahbaikan dalam teknik solekan dan dandanan mereka. Cuma, mungkin belum mendapat teknik yang sesuai untuk AA walaupun sudah hampir 2-tahun AA menyampai berita TV.

04 February 2010

Ramai tak tahu...

Sedikit terkejut apabila disapa 'orang-orang besar' setibanya di satu majlis di mana AA membuat liputan untuk malam itu. Bukan apa... Pemimpin-pemimpin itu seolah-olah tidak percaya, AA yang yang mereka lihat di TV petang itu, datang untuk membuat liputan malam yang sama pula. Bagi AA, itu perkara biasa yang berlaku walaupun agak keberatan untuk 'rush-back-home' untuk bersihkan solekan studio, cuci rambut dandanan studio, mandi dan bersiap pula untuk membuat liputan di majlis lain. Bukan mudah bagi AA... Nampak memang best tapi hakikatnya tidak seindah khabar... Memanglah bukan semua orang boleh 'masuk TV' baca berita, mengulas majlis, bersiaran langsung tapi segala kelebihan itu tida bernilai dari segi wang ringgit sebaliknya ANDA, penonton yang berhak meletak harganya. Siapa kata hati ini tidak memberontak? Cuma tidaklah sampai nampak sangat! Kelebihan yang ada dieksploitasi dengan klausa-klausa tertentu untuk menyedapkan hati yang sememangnya tidak puas hati ini. Tak apa la. AA percaya, segalanya ketentuan Allah, pasti ada hikmah-Nya.