BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Aliza Ali LIVE at TV1 News

Aliza Ali LIVE at TV1 News
Temubual Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPKK Sabah 2011

31 March 2010

RUMAH PENTADBIRAN TUN DATU MUSTAPHA - DESTINASI PELANCONGAN BERASASKAN SEJARAH

Satu lagi destinasi pelancongan berasaskan sejarah akan dibuka di negeri ini dalam tempoh 6-bulan akan datang. Terletak di Kampung Kerasik, Pitas, rumah pentadbiran mantan Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun kini sedang dalam proses pembaikan. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Haji Ismail berkata, kerja-kerja penggantian kayu yang rosak di rumah itu sedang giat dilaksanakan dengan jumlah peruntukan 50-ribu ringgit. Selain itu, peruntukan tahunan sebanyak 50-ribu ringgit juga disediakan secara berperingkat-peringkat dalam usaha memulihara rumah berkenaan. Menurut Datuk Bolkiah, rumah yang pernah didiami Allahyarham Tun Datu Mustapha sejak pemerintahan Usno itu mempunyai nilai sejarah tersendiri yang mampu menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negeri. Selain menjejaki tempat-tempat bersejarah di negeri ini, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar juga menyediakan sejumlah peruntukan besar untuk membeli bahan artifak daripada individu dalam negeri ini.

12 March 2010

Penduduk Weston Lega Perbekalan Air Bersih Bertambah Baik

Kira-kira 4-ribu penduduk Weston, dalam Daerah Beaufort menarik nafas lega apabila masalah bekalan air bersih yang mereka hadapi sejak lebih sebulan lalu, berjaya diatasi dengan Pembukaan Loji Air Limbawang, Beaufort awal tahun ini. Walaupun loji berkenaan tidak membekalkan air secara langsung ke Weston, namun pembukaan loji air baharu itu menghasilkan lebihan air sebanyak 4.5-juta liter sehari yang disalurkan kepada Loji Air Lama di Batu 58, Beaufort untuk disalurkan ke kawasan Weston, Lubok dan Lingkungan. Sebelum pembukaan Loji Air Limbawang, Weston hanya menerima 1-juta liter air sehari dari loji sedia ada. Namun, keadaan tersebut berubah apabila loji air baharu ini yang dibina untuk menyalurkan air ke Kuala Penyu dan Menumbok, membolehkan 2.5-juta liter air di loji lama disalurkan ke Weston. Kami sempat bertemu dengan Pemaju Mukim Weston, Junaidi Omarali yang menceritakan keceriaan penduduk di 9-buah kampung dalam mukim tersebut yang kini menjalani kehidupan lebih selesa selepas masalah air yang mereka hadapi diatasi. Junaidi bagaimanapun berharap, catuan bekalan air bersih di Weston bermula 10-pagi hingga 3-petang dapat diatasi segera. Selain itu, penduduk juga memerlukan tangki simpanan air baharu untuk kegunaan kegunaan penduduk pada waktu terdesak bagi menggantikan tangki lama yang megalami kebocoran teruk dan terlalu uzur untuk digunakan. Seorang peniaga di Pekan Weston, Rosni Kalong pula bersyukur dengan keprihatinan wakil rakyat kawasan itu dan pihak bertanggungjawab yang mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah mereka. Sementara itu, Jurutera Air Daerah Beaufort, Suhaimi Haji Hasbullah ketika ditanya mengenai masalah catuan air di Weston meberitahu, catuan terpaksa dilakukan bagi menggilirkan perbekalan air ke kawasan Lubok dan Lingkungan. Katanya, perancangan untuk menaiktaraf rangkaian perpaipan dan penggantian tangki simpanan di Weston akan dilakukan pada tahun ini.

11 March 2010

Gangguan bekalan air di Menumbok & Kuala Penyu

Lagi isu air di Menumbok dan Kuala Penyu. Penduduk di kedua-dua daerah itu mengalami gangguan bekalan air bersih yang tidak menentu walaupun setelah Loji Air Limbawang yang berkapasiti 15-juta liter air sehari beroperasi sepenuhnya sejak pertengahan Februari lalu. Ikuti laporan wartawan, Aliza Ali dan jurukamera, Faizal Ahmad yang meninjau masalah itu. Jika anda masih ingat, awal Januari lalu, kami pernah memaparkan kisah penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok yang mengalami masalah bekalan air bersih. Laporan yang mendapat perhatian Jabatan Air Negeri Sabah itu kemudiannya disusuli dengan pembukaan Loji Air Limbawang. Namun panas tidak sampai ke petang. Isu bekalan air bersih yang dijangka selesai beralih kepada masalah kebocoran paip sepanjang 24-kilometer menghubungkan Loji Air Limbawang dengan Kuala Penyu dan Menumbok. Jurutera Air Daerah Beaufort, Suhaimi Haji Hasbullah yang mengakui masalah itu menjelaskan, kebocoran paip berpunca daripada tekanan air yang kuat dari loji baharu selain faktor keuzuran paip yang berusia lebih 20-tahun. Tambahnya, dalam tempoh kurang 2-bulan, 13-kebocoran paip sudah berlaku dan setiap kebocoran mengambil masa sekurang-kurangnya sehari untuk diperbaiki. Suhaimi yang ditemui di Jabatan Air Beaufort juga menjangkakan gangguan tersebut akan berterusan selagi rangkaian perpaipan itu tidak diganti. Beliau bagaimanapun memberitahu, cadangan menaiktaraf keseluruhan rangkaian perpaipan itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia KeSepuluh (RMK-10).

05 March 2010

BEKALAN AIR BERSIH DI KAMPUNG KUALA ABAI

Pelaksanaan 3-Projek Bekalan Air Luar Bandar di Daerah Kota Belud mulai Mac ini dijangka berupaya membekalkan air bersih kepada 15-ribu-penduduk kampung di sepanjang Jalan Kudat dan Jalan Kuala Abai hujung tahun ini. Ketiga-tiga projek yang akan dilaksanakan secara serentak di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi itu membabitkan kawasan Rampayan Laut di Jalan Kudat, Mukim Tempasuk dan Pekan Kelawat. Menurut Juruteknik Jabatan Air Daerah Kota Belud, Zinurain Siong, buat masa ini, penduduk di kawasan berkenaan mengalami masalah bekalan air bersih yang amat serius iaitu tidak menerima bekalan air bersih sejak puluhan tahun lalu. Ini berikutan Loji Air Kota Belud yang dibina sejak 10-tahun lalu dengan kapasiti 20-juta liter air sehari sudah tidak mencukupi untuk membekalkan air ke kawasan tersebut. Bagi mengatasi masalah itu katanya, Kerajaan membina Loji Air Bayayat dengan kapasiti tambahan sebanyak 15-juta liter air sehari yang sudah mula beroperasi sejak Ogos 2008. Beliau bagaimanapun memberitahu, rangkaian perpaipan menghubungkan loji tersebut ke loji lama bagi membolehkan lebihan air sebanyak 3-juta liter sehari disalurkan ke kawasan di Jalan Kudat dan Jalan Kuala Abai masih belum selesai. Beliau ditemui Kru Berita RTM di pejabatnya di Jabatan Air Kota Belud. Sementara itu, Jurutera Daerah, Petrus Augustine ketika dihubungi pemberita RTM di Kota Kinabalu memberitahu, usaha menyiapkan rangkaian perpaipan tersebut termasuk dalam Projek Bekalan Air Luar Bandar di Mukim Tempasuk yang bernilai 4.3-juta ringgit. Dalam pada itu, Kru Berita RTM turut membuat tinjauan ke Kampung Kuala Abai bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai masalah yang dihadapi penduduk. Seorang warga emas berusia 87-tahun, Sadar Melan berkata, keperluan mendesak terhadap bekalan air menyebabkan beliau mengorek perigi dalam rumah manakala Bina Tungkeh yang bergantung seratus peratus kepada bekalan air bawah tanah menerusi sistem graviti berharap, Kerajaan mempercepatkan usaha menyalurkan bekalan air bersih ke kampung itu.