BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Aliza Ali LIVE at TV1 News

Aliza Ali LIVE at TV1 News
Temubual Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPKK Sabah 2011

28 January 2010

Hari ni AA bertugas menyampai berita dari Sabah untuk Berita Nasional TV1 7-pagi lagi. Adakalanya, tugas ini begitu menyeronokkan, menyedari betapa pentingnya tanggungjawab kita terhadap mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini menerusi media elektronik seperti radio dan televisyen. Namun, apabila tiba soal penampilan, AA sedikit kecewa... Ntah la, sejak menyampai berita, AA lebih banyak menerima komen mengenai penampilan AA di televisyen. Memanglah, komen itu menyakitkan tapi AA sedar, itu tanda penonton sayang akan AA, mahu AA kelihatan hebat di kaca televisyen. Tapi, ketahuilah wahai penonton... AA tidak berupaya melakukan sesuatu yang di luar bidang kuasa AA. Ini bukan sahaja soal solekan dan dandanan semata-mata, adakalanya disebabkan faktor pencahayaan, kedudukan, camera framing, transmission, pakaian dan sebagainya. Bukanlah salah kru penerbitan juga kerana peralatan di dalam studio berita tv juga sudah usang dan outdated, itu hakikat. AA akui berhadapan tekanan setiap kali menerima komen negatif namun AA percaya, semua itu demi kebaikan AA dan mutu siaran berita RTM juga khususnya dari Sabah, Negeri Di Bawah Bayu yang dicintai ini... Apa pun, usaha akan dilakukan dari semasa ke semasa demi memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan persembahan. Terima kasih semua...

12 January 2010

DILEMMA BEKALAN AIR KUALA PENYU, MENUMBOK DAN WESTON

Tarikh 31 Disember 2009 merupakan titik tolak perjuangan AA terhadap dilemma yang dihadapi penduduk Kuala Penyu, Menumbok dan Weston, Beaufort. Pada mulanya, AA agak keliru tentang apa yang perlu dilakukan lantaran tugasan saat akhir yang diberikan Editor Tugasan pada waktu itu yang turut menerima arahan mendadak daripada pihak atasan. AA bagaimanapun akur dengan arahan lalu menghubungi pihak berkaitan. Hari itu terasa begitu payah memulakan misi yang kita sendiri keliru akan matlamatnya. Namun, kerjasama yang baik daripada pihak Jabatan Air Negeri, khususnya Pengarahnya, Ag Mohd Tahir Mohd Talib ternyata banyak membantu dalam perjuangan ini. Terima kasih... Selepas mendapat kebenaran untuk melawat Stesen Pam Kayul di Kuala Penyu dan Loji Air Limbawang di Beaufort, AA beserta jurukamera, Mohd Haji Ali dan pemandu, Jamjin terus bertolak ke destinasi dituju. Dalam perjalanan ke sana, temujanji sudah pun diatur dengan pegawai bertanggungjawab di Kuala Penyu, Haji Jokrie Abdul Marudin. Rancangan untuk bertemu di Loji Air Limbawang, Beaufort terpaksa ditukar ke Stesen Pam Kayul kerana kru kami sudah melepasi jalan yang sepatutnya diikuti. Selepas pertemuan itu, kru kami terus ke Pekan Menumbok untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan penduduk di sana. Jelas, kehadiran RTM menjadi medium aduan mereka yang sudah hampir hilang keyakinan terhadap janji Kerajaan. Titipan khabar gembira tentang wujudnya loji dan stesen pam baharu untuk mengakhiri dilemma mereka bagaikan angin lalu. Mereka seolah-olah dididik untuk tidak terlalu berharap. Jelas, mereka kecewa dengan janji lama yang tidak tertunai. Namun, semua itu menguatkan semangat AA untuk melenyapkan kekecewaan mereka. AA lantas ke Loji Air Limbawang untuk melihat sendiri perkembangan loji baharu yang dikatakan khusus untuk membekalkan 15-juta liter air kepada penduduk di sekitar Kuala Penyu dan Menumbok. Menurut Jokrie dan Jurutera Daerah (DE) Jabatan Air Beaufort, Suhaimi, Stesen Pam Kayul dan Loji Air Limbawang akan beroperasi pada minggu kedua bulan ini. Waktu itu, AA hanya mampu berdoa, semuanya berjalan lancar agar Janji Dikota, Rakyat Dibela. 8 Januari 2010, AA menemui Pengarah Jabatan Air Negeri

08 January 2010

"Janji Dikota, Rakyat Dibela"

"Janji Dikota, Rakyat Dibela" bukanlah satu frasa baharu dalam pimpinan Kerajaan Barisan Nasional. Namun, frasa ini semakin berkesan dengan Gagasan 1 Malaysia : "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", ilham Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Ekoran itu, selaku penggerak media arus perdana, AA merasakan tanggungjawab mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian patut dipikul bersama, seluruh rakyat Malaysia termasuk wartawan penyiaran seperti AA. Walaupun tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat secara konkrit, namun AA akan memastikan setiap titisan keringat AA di lokasi tidak akan disia-siakan. AA akan pulang dengan satu isu dan kembali dengan penyelesaian isu terbabit. Bukan bertujuan mendesak atau mengampu mana-mana pihak, AA ikhlas atas dasar 1 Malaysia... Anda boleh memberikan cadangan, pandangan dan kritikan membina kepada AA menerusi blog ini. Sokongan anda amat diharapkan. Terima kasih. :)