BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Aliza Ali LIVE at TV1 News

Aliza Ali LIVE at TV1 News
Temubual Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPKK Sabah 2011

16 October 2010

Tragedi Oktober

Assalammualaikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia...

Selain berita kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah, Kota Kinabalu dikejutkan lagi dengan berita kehilangan seorang jururawat berusia 39-tahun yang bertugas di Kudat. Apa yang menjadi misteri, kereta Perodua Kancil milik beliau ditemui berhampiran Dewan Masyarakat Kota Kinabalu pada hari sama. Kurang 3-hari, orang ramai dikhabarkan mengenai penemuan mayat wanita itu di dalam parit berhampiran perumahan Taman Ujana Kingfisher, Likas. Mayat beliau dikatakan ditemui beberapa kanak-kanak yang memetik sayur di kawasan semak berhampiran kira-kira pukul 11-pagi Isnin. AA dan jurukamera, Roslia Gondila terus bergegas ke lokasi penemuan mayat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Di lokasi kira-kira pukul 12-tengahari, kami melihat polis sudah meletakkan garisan kuning yang menghalang orang awam daripada memasuki kawasan larangan bagi membolehkan pasukan forensik melakukan siasatan awal. Setibanya di sana, sudah pasti mayat wanita menjadi sasaran anak mata kami namun hampa... Kami diberitahu bahawa mayat belum diangkat daripada parit di mana mangsa ditemui mati. Kami juga tidak menghidu sebarang bau mayat. Apa yang kelihatan, hanyalah 6-label kuning yang diletakkan pasukan forensik sebagai tanda bahan bukti yang mungkin boleh membantu siasatan lanjut kes kematian jururawat malang itu.

Kira-kira 1.30-tengahari, kami melihat pasukan polis mula menunjukkan tanda untuk mengangkat mayat keluar daripada parit berkenaan. Mayat selamat dikeluarkan kira-kira pukul 2-petang dan suasana sedih semakin menyelubungi lokasi tersebut. Pemergian jururawat itu amat tidak diduga oleh ahli keluarga yang ternyata terlalu menyayanginya. Mayat berkeadaan mula mereput itu berkeadaan separuh bogel dan cedera di bahagian kepala.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Tan Kok Liang yang membuat kenyataan media memberitahu, polis akan meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematian dan suspek kes itu.