BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Aliza Ali LIVE at TV1 News

Aliza Ali LIVE at TV1 News
Temubual Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPKK Sabah 2011

15 April 2010

OKU JUGA BERUPAYA!

AA tidak dapat membayangkan bagaimanakah perasaannya jika tiba-tiba kehilangan upaya. Namun, AA pasti, kehilangan upaya bukan sahaja menyebabkan kesakitan fizikal malah merangkumi penderitaan mental dan spiritual yang cukup dahsyat.

Bagi mereka yang dilahirkan dalam keadaan normal tetapi kehilangan upaya secara tiba-tiba disebabkan penyakit atau bencana kerja, hakikat ini sememangnya sukar diterima.

Keupayaan yang sebelum ini membolehkan kita bekerja kini sudah terhad. Namun, golongan OKU ini masih berpeluang untuk bekerja semula atau berniaga mengikut kemampuan masing-masing.

Peluang ini boleh didapatkan menerusi Program Return To Work (RTW) yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Walaupun baru diperkenalkan di Sabah pada akhir tahun 2009, RTW sudah berjaya melahirkan seorang Peniaga OKU di Kota Kinabalu.

Di Semenanjung Malaysia pula, RTW berjaya mengembalikan 977-OKU untuk bekerja semula atau berniaga dalam tempoh 3-tahun pelaksanaannya.

Menerusi RTW, Perkeso akan menanggung semua kos rawatan dan alat bantuan yang diperlukan OKU untuk membolehkan mereka bekerja semula.

Selain itu, Perkeso juga akan membantu peserta OKU mencari majikan yang mahu menggajikan mereka. Buat masa ini, seramai 17-OKU sedang menjalani program ini di Sabah.

13 April 2010

TEH GAHARU?

Pagi tadi, AA bersarapan dengan minuman Teh Gaharu, salah satu buah tangan daripada Majlis Perasmian Seminar Perladangan Karas & Pengeluaran Gaharu di Grand Ballroom, The Pacific Sutera, Kota Kinabalu kelmarin.

Bukan sahaja memiliki bungkusan yang menarik, Teh Gaharu ini juga bebas gula mahupun pemanis tiruan. Dibuat daripada daun Gaharu dari Kuala Lipis, Pahang, Mulberry dari Malaysia dan rooibos dari Afrika Selatan, teh ini turut ditambah dengan pemanis semulajadi daripada daun Stevia yang berasal dari Turki.

AA agak cerewet dalam pemilihan teh. Namun, bungkusan yang menarik ditambah pula keunikan teh ini diperbuat daripada daun Gaharu serta Stevia menarik minat AA untuk mencuba. Ternyata, nikmatnya memang berbeza daripada teh-teh lain yang pernah AA minum. Aroma tehnya mendamaikan, rasanya pula manis semulajadi.

Jadi, jangan tak percaya kalau pokok gaharu banyak gunanya! Bukan sahaja damarnya yang boleh dijadikan bahan untuk membuat minyak wangi, ubat-ubatan selain digunakan untuk upacara keagamaan, kayunya pula boleh dijadikan perabot bernilai tinggi.

Penglibatan para pengusaha dalam industri hiliran gaharu mampu meningkatkan nilai eksport negara di samping memaksimumkan potensi gaharu secara mapan. :)

10 April 2010

BANYAK LAGI KAWASAN LUAR BANDAR YANG TIADA BEKALAN AIR BERSIH

Lawatan bersama ADUN Pantai Manis, YB Datuk Haji Abdul Rahim Ismail dan ADUN Kawang, YB Datuk Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar ke Kampung Padawan, Papar mendorong AA untuk terus menulis mengenai keluh-kesah penduduk luar bandar di negeri ini.


Kampung Padawan, merupakan salah sebuah daripada 26-kampung yang masih tidak menerima bekalan air bersih. Dalam usia kemerdekaan yang hampir mencecah 53-tahun (atau 47-tahun bagi Sabah), mereka sewajarnya tidak lagi bergantung seratus peratus kepada bekalan air semulajadi seperti air hujan, telaga atau sungai.

Namun, itulah hakikatnya... Tinjauan AA ke kampung itu pada musim kemarau yang lalu mendapati, ketiadaan hujan dan keadaan sungai dan telaga yang semakin kering menyebabkan penduduk kampung tersebut mengalami kesukaran yang sukar digambarkan.

Menurut salah seorang penduduk kampung itu, Helena Kiang, walaupun terpaksa menggunakan air telaga yang keruh untuk mandi, mencuci malah memasak, ia tetap dianggap sebagai rahmat yang cukup bernilai.

Kedua-dua wakil rakyat itu kemudiannya turut melawat Loji Rawatan Air Kogopon, Papar yang mampu membekalkan 40-juta liter air sehari kepada seluruh penduduk Daerah Papar.