Hairan dengan sikap sesetengah orang yang suka menyembunyikan tahun kelahiran. Kononnya khuatir orang tahu usianya semakin tua. Lebih teruk lagi, ada yang enggan menerima hakikat dengan berkata "Age is just a number".
Bagi AA, USIA BUKAN SEKADAR ANGKA sebaliknya usia menggambarkan kematangan diri dalam menjalani hidup di dunia yang serba mencabar ini. Jika diamati, peningkatan usia setiap tahun adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada hamba-Nya untuk terus hidup dan mencari hidayah-Nya.
Bagi yang berkesempatan untuk 'bertemu' dengan hari ulang tahun kelahiran, bersyukurlah dengan hari yang meraikan kematangan diri anda. Berjanjilah untuk terus mematangkan diri dengan menjalani hidup secara lebih rasional.
Mengakui hakikat usia yang semakin meningkat juga secara tidak langsung mengingatkan kita tentang kematian. Sesungguhnya, jasad ini hanyalah pinjaman semata-mata dan kita akan kembali kepada-Nya bila tiba waktu itu. Peringatan tentang mati lazimnya berupaya menimbulkan keinsafan pada diri kita sekaligus takut melakukan larangan-Nya.
Secara peribadi, usia yang meningkat setiap tahun bagi AA adalah istimewa kerana ulang tahun kelahiran adalah 'penutup usia terdahulu dan pembuka usia seterusnya' lebih-lebih lagi kita tidak pernah tahu bilakah 'penutup usia terakhir' masing-masing.
Sempena ulang tahun kelahiran kali ini, AA mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada suami, ibu bapa dan semua yang mengenali diri AA atas segala keterlanjuran kata dan tingkahlaku AA terhadap kalian. Sesungguhnya AA hanya insan biasa yang serba kekurangan dan tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan sama ada yang disengajakan apatah lagi yang tidak disengajakan.
Maafkanlah,
Aliza Ali
Aliza Ali LIVE at TV1 News
13 December 2010
Usia bukan sekadar angka!
Posted by Aliza Ali at 4:21 PM 1 comments
Type : LOOK FORWARD
10 December 2010
Qadiani - Tidak Seindah Nama
Tidak seindah nama... Qadiani merupakan satu ajaran yang hampir menyerupai ajaran Islam tetapi sebenarnya terkeluar daripada Islam. Ajaran yang turut menggunakan Al-Quran sebagai kitab rujukan dan menganjurkan sembahyang Jumaat ini bagaimanapun difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan 1976 sebagai terkeluar daripada Islam.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Amri Suratman sehubungan itu menasihatkan umat Islam menjauhi ajaran yang bercanggah dengan Islam ini. Katanya, mereka yang ingin mendalami ajaran Islam boleh mempelajarinya daripada pegawai-pegawai JHEAINS yang bertauliah.
Ajaran Qadiani yang berasal dari Negara India ini telah bertapak di Sabah lebih sedekad lalu, malah ada penduduk tempatan sudah menjadi pengikut ajaran Qadiani yang semakin merebak di seluruh negeri. Bagaimanapun, usaha sedang dijalankan di peringkat kebangsaan untuk mengkaji semula fatwa terhadap Qadiani sama ada ia kekal sebagai ajaran bukan Islam atau menyeleweng ajaran Islam.
Posted by Aliza Ali at 6:22 PM 2 comments
Type : DISCUSSION
16 October 2010
Tragedi Oktober
Assalammualaikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia...
Selain berita kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah, Kota Kinabalu dikejutkan lagi dengan berita kehilangan seorang jururawat berusia 39-tahun yang bertugas di Kudat. Apa yang menjadi misteri, kereta Perodua Kancil milik beliau ditemui berhampiran Dewan Masyarakat Kota Kinabalu pada hari sama. Kurang 3-hari, orang ramai dikhabarkan mengenai penemuan mayat wanita itu di dalam parit berhampiran perumahan Taman Ujana Kingfisher, Likas. Mayat beliau dikatakan ditemui beberapa kanak-kanak yang memetik sayur di kawasan semak berhampiran kira-kira pukul 11-pagi Isnin. AA dan jurukamera, Roslia Gondila terus bergegas ke lokasi penemuan mayat untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Di lokasi kira-kira pukul 12-tengahari, kami melihat polis sudah meletakkan garisan kuning yang menghalang orang awam daripada memasuki kawasan larangan bagi membolehkan pasukan forensik melakukan siasatan awal. Setibanya di sana, sudah pasti mayat wanita menjadi sasaran anak mata kami namun hampa... Kami diberitahu bahawa mayat belum diangkat daripada parit di mana mangsa ditemui mati. Kami juga tidak menghidu sebarang bau mayat. Apa yang kelihatan, hanyalah 6-label kuning yang diletakkan pasukan forensik sebagai tanda bahan bukti yang mungkin boleh membantu siasatan lanjut kes kematian jururawat malang itu.
Kira-kira 1.30-tengahari, kami melihat pasukan polis mula menunjukkan tanda untuk mengangkat mayat keluar daripada parit berkenaan. Mayat selamat dikeluarkan kira-kira pukul 2-petang dan suasana sedih semakin menyelubungi lokasi tersebut. Pemergian jururawat itu amat tidak diduga oleh ahli keluarga yang ternyata terlalu menyayanginya. Mayat berkeadaan mula mereput itu berkeadaan separuh bogel dan cedera di bahagian kepala.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Tan Kok Liang yang membuat kenyataan media memberitahu, polis akan meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematian dan suspek kes itu.
Posted by Aliza Ali at 11:08 AM 0 comments
Type : BLOG
13 August 2010
Ramadan al-Mubarak
Alhamdulillah... Kita dipertemukan lagi dengan bulan penuh keberkatan, Ramadan al-Mubarak. Semoga Ramadan kali ini mampu memberi keinsafan kepada kita semua. Dalam kesempatan ini, AA ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga segala ibadah kita mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t. AA juga ingin memohon kemaafan atas segala keterlanjuran kata dan tingkah laku yang menyinggung perasaan semua pihak. Sesungguhnya kita hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Akhir kata, semoga kita semua dikurniakan kesihatan sepanjang bulan Ramadan ini untuk menjalankan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain. Assalammualaikum, Salam 1 Malaysia.
Posted by Aliza Ali at 8:56 AM 0 comments
Type : BLOG
15 July 2010
E-WASTE PERLU PENYELESAIAN SEGERA
Posted by Aliza Ali at 6:18 PM 3 comments
Type : BLOG
14 July 2010
Anugerah Kewartawanan Kinabalu Shell 2010
Posted by Aliza Ali at 10:28 AM 1 comments
Type : BLOG
07 June 2010
Mei 2010 berakhir dengan Lintas Langsung Kaamatan
Posted by Aliza Ali at 5:01 PM 0 comments
Type : EXPERIENCES
16 May 2010
Putra Celebrating Birthdays with ATUK...
Hari Ulang Tahun Kelahiran bapa & Putra disambut sederhana... Apa yang penting, doa sentiasa mengiringi agar bapa & Putra dikurniakan kesihatan, dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah s.w.t. Amin.
Posted by Aliza Ali at 4:05 PM 0 comments
Type : BLOG
10 May 2010
Istimewa untuk mama tersayang. "Selamat Hari Ibu".
Posted by Aliza Ali at 4:47 PM 0 comments
Type : BLOG
Hari Ibu yang indah buatku...
Masih segar dalam ingatanku, bermula detik 12-tengah malam 14 Mei itu, selepas menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran mendiang nenek (sebelah ibuku), seluar yang ku pakai habis basah kuyup dengan air yang terasa panas entah dari mana datangnya. Ketika itu, ibuku memberitahu, "Alahhh... Pecah sudah air ketuban!" Aku jadi panik seketika. Mujurlah ibuku menenangkanku... Kami kemudiannya balik ke rumah dan aku sempat mandi sebelum dihantar suami dan keluargaku ke Hospital Likas (kini Hospital Wanita dan Kanak-Kanak). Selepas menunggu kira-kira 14-jam tanpa sebarang kesakitan yang sering diceritakan sebagai amat dahsyat, aku selamat melahirkan Putra tepat pukul 2.51 petang. Dan ketika itu, doktor, bidan dan juru rawat yang banyak membantuku menghadiahkan ucapan yang pertama kali ku terima iaitu "Selamat Hari Ibu".
Kini, aku memiliki 2 orang anak lelaki yang usianya hanya berbeza 11 bulan 2 minggu! Putra akan berusia 4-tahun (beberapa hari lagi) dan Indra pula 3-tahun. Kedua-dua 'kesayangan' kami ini dihantar ke taska bagi memberi pendedahan awal kepada mereka tentang pergaulan dan disiplin selain menyuntik ilmu pendidikan awal kepada mereka. Sempena Hari Ibu tahun ini, mereka masing-masing menghadiahkanku gelang buatan mereka sendiri dengan bantuan guru-guru di taska itu. Apa yang membuatkan naluri keibuanku tersentuh, mereka sendiri memakaikan gelang itu ke tanganku dan berkata "Putra/Indra yang buat gelang ni. Mama pakai, jangan buka k. Putra/Indra sayang mama..."
Posted by Aliza Ali at 8:44 AM 0 comments
Type : BLOG
06 May 2010
Mei...
Secara peribadi, bulan Mei amat istimewa bagi AA dan keluarga kerana ia hampir dengan hari-hari kemeriahan keluarga AA. Apa tidaknya, ramai yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan ini. Hari kelahiran anak bongsu AA, AMN Indra pula hanya 4 hari sebelum ketibaan Mei; iaitu 28 April lalu.
Pada bulan ini, hari ulang tahun kelahiran istimewa bagi keluarga AA bermula dengan hari jadi adik AA, Siti Sabella iaitu pada HARI INI, 6 Mei. Sayangnya, Lala sekarang berada di Kem PLKN, Selangor... Hari-hari istimewa dalam bulan ini akan disusuli dengan sambutan Hari Ibu pada Ahad ini, 9 Mei dan AA memang merancang untuk menyambutnya bersama mama tersayang... Selepas berakhir minggu ini, tiba pula hari ulang tahun kelahiran bapa AA, Ag Ali Mohali iaitu pada 12 Mei dan diikuti ulang tahun kelahiran anak sulung AA, AMN Putra 2-hari selepas itu; 14 Mei.
Apa yang pasti, kami sekeluarga akan sibuk sepanjang bulan ini untuk membuat sambutan kecil memperingati hari istimewa ini...
Posted by Aliza Ali at 9:29 AM 0 comments
Type : BLOG
15 April 2010
OKU JUGA BERUPAYA!
AA tidak dapat membayangkan bagaimanakah perasaannya jika tiba-tiba kehilangan upaya. Namun, AA pasti, kehilangan upaya bukan sahaja menyebabkan kesakitan fizikal malah merangkumi penderitaan mental dan spiritual yang cukup dahsyat.
Bagi mereka yang dilahirkan dalam keadaan normal tetapi kehilangan upaya secara tiba-tiba disebabkan penyakit atau bencana kerja, hakikat ini sememangnya sukar diterima.
Keupayaan yang sebelum ini membolehkan kita bekerja kini sudah terhad. Namun, golongan OKU ini masih berpeluang untuk bekerja semula atau berniaga mengikut kemampuan masing-masing.
Peluang ini boleh didapatkan menerusi Program Return To Work (RTW) yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Walaupun baru diperkenalkan di Sabah pada akhir tahun 2009, RTW sudah berjaya melahirkan seorang Peniaga OKU di Kota Kinabalu.
Di Semenanjung Malaysia pula, RTW berjaya mengembalikan 977-OKU untuk bekerja semula atau berniaga dalam tempoh 3-tahun pelaksanaannya.
Menerusi RTW, Perkeso akan menanggung semua kos rawatan dan alat bantuan yang diperlukan OKU untuk membolehkan mereka bekerja semula.
Selain itu, Perkeso juga akan membantu peserta OKU mencari majikan yang mahu menggajikan mereka. Buat masa ini, seramai 17-OKU sedang menjalani program ini di Sabah.
Posted by Aliza Ali at 9:43 AM 0 comments
Type : BLOG
13 April 2010
TEH GAHARU?
Bukan sahaja memiliki bungkusan yang menarik, Teh Gaharu ini juga bebas gula mahupun pemanis tiruan. Dibuat daripada daun Gaharu dari Kuala Lipis, Pahang, Mulberry dari Malaysia dan rooibos dari Afrika Selatan, teh ini turut ditambah dengan pemanis semulajadi daripada daun Stevia yang berasal dari Turki.
AA agak cerewet dalam pemilihan teh. Namun, bungkusan yang menarik ditambah pula keunikan teh ini diperbuat daripada daun Gaharu serta Stevia menarik minat AA untuk mencuba. Ternyata, nikmatnya memang berbeza daripada teh-teh lain yang pernah AA minum. Aroma tehnya mendamaikan, rasanya pula manis semulajadi.
Jadi, jangan tak percaya kalau pokok gaharu banyak gunanya! Bukan sahaja damarnya yang boleh dijadikan bahan untuk membuat minyak wangi, ubat-ubatan selain digunakan untuk upacara keagamaan, kayunya pula boleh dijadikan perabot bernilai tinggi.
Penglibatan para pengusaha dalam industri hiliran gaharu mampu meningkatkan nilai eksport negara di samping memaksimumkan potensi gaharu secara mapan. :)
Posted by Aliza Ali at 9:24 AM 1 comments
Type : BLOG
10 April 2010
BANYAK LAGI KAWASAN LUAR BANDAR YANG TIADA BEKALAN AIR BERSIH
Lawatan bersama ADUN Pantai Manis, YB Datuk Haji Abdul Rahim Ismail dan ADUN Kawang, YB Datuk Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar ke Kampung Padawan, Papar mendorong AA untuk terus menulis mengenai keluh-kesah penduduk luar bandar di negeri ini.
Posted by Aliza Ali at 7:22 AM 0 comments
31 March 2010
RUMAH PENTADBIRAN TUN DATU MUSTAPHA - DESTINASI PELANCONGAN BERASASKAN SEJARAH
Satu lagi destinasi pelancongan berasaskan sejarah akan dibuka di negeri ini dalam tempoh 6-bulan akan datang. Terletak di Kampung Kerasik, Pitas, rumah pentadbiran mantan Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun kini sedang dalam proses pembaikan. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Haji Ismail berkata, kerja-kerja penggantian kayu yang rosak di rumah itu sedang giat dilaksanakan dengan jumlah peruntukan 50-ribu ringgit. Selain itu, peruntukan tahunan sebanyak 50-ribu ringgit juga disediakan secara berperingkat-peringkat dalam usaha memulihara rumah berkenaan. Menurut Datuk Bolkiah, rumah yang pernah didiami Allahyarham Tun Datu Mustapha sejak pemerintahan Usno itu mempunyai nilai sejarah tersendiri yang mampu menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negeri. Selain menjejaki tempat-tempat bersejarah di negeri ini, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar juga menyediakan sejumlah peruntukan besar untuk membeli bahan artifak daripada individu dalam negeri ini.
Posted by Aliza Ali at 3:25 PM 0 comments
Type : BLOG
12 March 2010
Penduduk Weston Lega Perbekalan Air Bersih Bertambah Baik
Kira-kira 4-ribu penduduk Weston, dalam Daerah Beaufort menarik nafas lega apabila masalah bekalan air bersih yang mereka hadapi sejak lebih sebulan lalu, berjaya diatasi dengan Pembukaan Loji Air Limbawang, Beaufort awal tahun ini. Walaupun loji berkenaan tidak membekalkan air secara langsung ke Weston, namun pembukaan loji air baharu itu menghasilkan lebihan air sebanyak 4.5-juta liter sehari yang disalurkan kepada Loji Air Lama di Batu 58, Beaufort untuk disalurkan ke kawasan Weston, Lubok dan Lingkungan. Sebelum pembukaan Loji Air Limbawang, Weston hanya menerima 1-juta liter air sehari dari loji sedia ada. Namun, keadaan tersebut berubah apabila loji air baharu ini yang dibina untuk menyalurkan air ke Kuala Penyu dan Menumbok, membolehkan 2.5-juta liter air di loji lama disalurkan ke Weston. Kami sempat bertemu dengan Pemaju Mukim Weston, Junaidi Omarali yang menceritakan keceriaan penduduk di 9-buah kampung dalam mukim tersebut yang kini menjalani kehidupan lebih selesa selepas masalah air yang mereka hadapi diatasi. Junaidi bagaimanapun berharap, catuan bekalan air bersih di Weston bermula 10-pagi hingga 3-petang dapat diatasi segera. Selain itu, penduduk juga memerlukan tangki simpanan air baharu untuk kegunaan kegunaan penduduk pada waktu terdesak bagi menggantikan tangki lama yang megalami kebocoran teruk dan terlalu uzur untuk digunakan. Seorang peniaga di Pekan Weston, Rosni Kalong pula bersyukur dengan keprihatinan wakil rakyat kawasan itu dan pihak bertanggungjawab yang mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah mereka. Sementara itu, Jurutera Air Daerah Beaufort, Suhaimi Haji Hasbullah ketika ditanya mengenai masalah catuan air di Weston meberitahu, catuan terpaksa dilakukan bagi menggilirkan perbekalan air ke kawasan Lubok dan Lingkungan. Katanya, perancangan untuk menaiktaraf rangkaian perpaipan dan penggantian tangki simpanan di Weston akan dilakukan pada tahun ini.
Posted by Aliza Ali at 11:33 AM 0 comments
Type : BLOG
11 March 2010
Gangguan bekalan air di Menumbok & Kuala Penyu
Lagi isu air di Menumbok dan Kuala Penyu. Penduduk di kedua-dua daerah itu mengalami gangguan bekalan air bersih yang tidak menentu walaupun setelah Loji Air Limbawang yang berkapasiti 15-juta liter air sehari beroperasi sepenuhnya sejak pertengahan Februari lalu. Ikuti laporan wartawan, Aliza Ali dan jurukamera, Faizal Ahmad yang meninjau masalah itu. Jika anda masih ingat, awal Januari lalu, kami pernah memaparkan kisah penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok yang mengalami masalah bekalan air bersih. Laporan yang mendapat perhatian Jabatan Air Negeri Sabah itu kemudiannya disusuli dengan pembukaan Loji Air Limbawang. Namun panas tidak sampai ke petang. Isu bekalan air bersih yang dijangka selesai beralih kepada masalah kebocoran paip sepanjang 24-kilometer menghubungkan Loji Air Limbawang dengan Kuala Penyu dan Menumbok. Jurutera Air Daerah Beaufort, Suhaimi Haji Hasbullah yang mengakui masalah itu menjelaskan, kebocoran paip berpunca daripada tekanan air yang kuat dari loji baharu selain faktor keuzuran paip yang berusia lebih 20-tahun. Tambahnya, dalam tempoh kurang 2-bulan, 13-kebocoran paip sudah berlaku dan setiap kebocoran mengambil masa sekurang-kurangnya sehari untuk diperbaiki. Suhaimi yang ditemui di Jabatan Air Beaufort juga menjangkakan gangguan tersebut akan berterusan selagi rangkaian perpaipan itu tidak diganti. Beliau bagaimanapun memberitahu, cadangan menaiktaraf keseluruhan rangkaian perpaipan itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia KeSepuluh (RMK-10).
Posted by Aliza Ali at 2:06 PM 0 comments
Type : BLOG
05 March 2010
BEKALAN AIR BERSIH DI KAMPUNG KUALA ABAI
Pelaksanaan 3-Projek Bekalan Air Luar Bandar di Daerah Kota Belud mulai Mac ini dijangka berupaya membekalkan air bersih kepada 15-ribu-penduduk kampung di sepanjang Jalan Kudat dan Jalan Kuala Abai hujung tahun ini. Ketiga-tiga projek yang akan dilaksanakan secara serentak di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi itu membabitkan kawasan Rampayan Laut di Jalan Kudat, Mukim Tempasuk dan Pekan Kelawat. Menurut Juruteknik Jabatan Air Daerah Kota Belud, Zinurain Siong, buat masa ini, penduduk di kawasan berkenaan mengalami masalah bekalan air bersih yang amat serius iaitu tidak menerima bekalan air bersih sejak puluhan tahun lalu. Ini berikutan Loji Air Kota Belud yang dibina sejak 10-tahun lalu dengan kapasiti 20-juta liter air sehari sudah tidak mencukupi untuk membekalkan air ke kawasan tersebut. Bagi mengatasi masalah itu katanya, Kerajaan membina Loji Air Bayayat dengan kapasiti tambahan sebanyak 15-juta liter air sehari yang sudah mula beroperasi sejak Ogos 2008. Beliau bagaimanapun memberitahu, rangkaian perpaipan menghubungkan loji tersebut ke loji lama bagi membolehkan lebihan air sebanyak 3-juta liter sehari disalurkan ke kawasan di Jalan Kudat dan Jalan Kuala Abai masih belum selesai. Beliau ditemui Kru Berita RTM di pejabatnya di Jabatan Air Kota Belud. Sementara itu, Jurutera Daerah, Petrus Augustine ketika dihubungi pemberita RTM di Kota Kinabalu memberitahu, usaha menyiapkan rangkaian perpaipan tersebut termasuk dalam Projek Bekalan Air Luar Bandar di Mukim Tempasuk yang bernilai 4.3-juta ringgit. Dalam pada itu, Kru Berita RTM turut membuat tinjauan ke Kampung Kuala Abai bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai masalah yang dihadapi penduduk. Seorang warga emas berusia 87-tahun, Sadar Melan berkata, keperluan mendesak terhadap bekalan air menyebabkan beliau mengorek perigi dalam rumah manakala Bina Tungkeh yang bergantung seratus peratus kepada bekalan air bawah tanah menerusi sistem graviti berharap, Kerajaan mempercepatkan usaha menyalurkan bekalan air bersih ke kampung itu.
Posted by Aliza Ali at 11:58 AM 0 comments
Type : BLOG
22 February 2010
Kenapa SABAH masih mengalami kekurangan infrastruktur asas?
1 Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sejauhmana gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak ini dapat meyakinkan rakyat terhadap kesungguhan Kerajaan dalam membawa perubahan? Sejak Datuk Seri Najib memegang tampuk kepimpinan negara, banyak dasar baharu yang diperkenalkan. Semuanya untuk rakyat tetapi benarkah rakyat merasai keberkesanan dasar itu? YA, jika rakyat menerima apa yang dikehendaki dan TIDAK, jika apa yang diterima itu lebih menyukarkan. AA cuba meninjau keadaan penduduk di beberapa daerah di Sabah yang masih tidak mendapat kemudahan asas (air) secara konsisten. Terdetik juga di hati, kenapa kemudahan yang diberikan Kerajaan bersifat on-off, tidak berterusan? Kenapa perlu catuan air sedangkan loji baharu siap dibina sudah boleh beroperasi (tapi tidak sepenuhnya)? Bila ditanya, jawapan bagi dua daerah itu sama; saluran paip pecah adalah di luar jangkaan. Persoalannya, kenapa perkara di luar jangkaan yang pernah berlaku di daerah pertama berulang di daerah kedua? Tidakkah pihak bertanggungjawab melakukan post-mortem selepas sesebuah projek pembangunan? AA ingin sekali mendapat penjelasan mengenainya. Dan, AA juga ingin mengetahui kenapa loji baharu yang siap dibina tidak disertakan dengan pembinaan paip saluran bawah tanah untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan memerlukan? Kenapa perlu dilakukan secara berasingan sehingga timbul masalah lain? Mangsanya, penduduk di daerah-daerah berkenaan.
Posted by Aliza Ali at 10:09 AM 0 comments
Type : BLOG
19 February 2010
Berita Nasional (Sabah) 0700hrs 19 Februari 2010 terpaksa dibatalkan?
Hari ni, AA ke pejabat lebih awal daripada biasa iaitu pukul 5.18-subuh. AA dijadualkan untuk menyampai berita Sabah dalam Berita Nasional 7 pagi. AA ke studio seawal 5.30-subuh untuk bersiap. Malangnya, atas sebab teknikal di studio, kami tidak dapat bersiaran...
Posted by Aliza Ali at 8:46 AM 0 comments
Type : EXPERIENCES
17 February 2010
LINTAS LANGSUNG AD HOC
Kelmarin, AA ditugaskan untuk membuat laporan langsung dari Dewan KDCA, Penampang untuk Berita Semasa 12 tengahari sempena Majlis One Malaysia Gong Xi Fa Cai. Walaupun maklumat mengenai majlis itu agak terhad, AA dan seluruh kru penerbitan yang dipimpin Penerbit, Narry Lako berjaya melakukannya. Lintas langsung pertama diisi dengan temubual bersama Pengarah Urusan XPL Global Sdn Bhd, En. J.S.Ling selaku penganjur majlis. Selesai sahaja lintas langsung itu, Puan Jumaahtun dari Angkasapuri pula meminta kami untuk berlintas langsung sekali lagi pukul 1 tengahari. Sekali lagi, kami agak ketandusan maklumat mengenai majlis itu. Lintas langsung kedua, kami menebual 2 orang Pengurus Pemasaran Eksekutif XPL Global Sdn Bhd, Ling Ming Pian dan Goh Lay Keng. Kira-kira 4-minit sebelum LIVE, barulah kami diberitahu yang majlis itu bukan anjuran XPL Global Sdn Bhd (walaupun dalam banner di pentas utama tertulis dengan jelas Organized by : XPL Global Sdn Bhd)! Majlis itu rupanya anjuran Lambai Limbai RTM Sabah yang akan bersiaran langsung 2.05 petang itu. Semuanya berlaku dengan pantas dan penuh ad hoc tapi sekurang-kurangnya kami sudah melakukan yang terbaik.
Posted by Aliza Ali at 8:06 AM 2 comments
Type : EXPERIENCES
11 February 2010
AA Sendiri Lagi...
Alaaa... Bukan tak biasa keluar buat liputan sorang-sorang cuma sunyi dan rasa macam tak lengkap. Dah la sampai awal (orang pertama di lokasi), sorang-sorang pula tu. Ketidakbiasaan itu menjadikan AA kurang ceria di lokasi liputan tadi tapi tidaklah sampai membataskan pergaulan dengan rakan2 media lain serta pihak penganjur. Ntah la, mungkin dah biasa kerja secara berpasukan, jadi bila sendiri, rasa x best LANGSUNG! Walaupun adakalanya kurang senang dengan karenah rakan sepasukan tapi ketiadaan tetap dirasai. Lebih2 lagi bila dapat tahu juru kamera Mohammad Haji Ali (MA) akan bertukar unit atas faktor kesihatan, Mac ni. Maklumlah, MA selalu juga keluar buat liputan dengan AA, selalu juga bercerita itu dan ini... Macam mana la kalau MA tidak lagi keluar bersama kami untuk buat liputan lagi? Sedikit sebanyak, memang terasa juga. :( Tapi, kalau itu yang terbaik untuk MA, kami doakan saja supaya lebih sihat dan ceria nanti. Eh... Cerita MA pula ni. Hehehe... OK la, sekejap lagi AA tidak akan sendirian. AA akan keluar dengan kawan-kawan BES yang dijemput hadir ke Jamuan Tengahari Media bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin. Chow...
Posted by Aliza Ali at 11:31 AM 2 comments
Type : EXPERIENCES
09 February 2010
Tugas wartawan 'kacang'?
Siapa kata tugas wartawan penyiaran mudah? Siapa pula kata susah? :) Dalam dunia ini, tidak ada perkara yang senang atau susah. Semua tu sendiri yang menentukan tahap kepayahannya. Bagi AA, perkara sukar akan menjadi mudah jika kita berfikiran positif mengenainya. Sebaliknya, perkara mudah akan menjadi sukar jika kita gagal mengawal minda yang berfikiran negatif mengenainya. Tahap pemikiran positif atau negatif juga begitu subjektif sifatnya sehinggakan kita kadang-kala tidak menyedari dalam situasi manakah kita berada. Setiap hari, Ketua Pemberita (CR) akan menentukan tugasan untuk liputan untuk kami, para wartawan bertugas. Semasa di lokasi, tugas seorang wartawan adalah untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai peristiwa atau isu berbangkit untuk dijadikan bahan berita. Dalam perjalanan pulang ke pejabat, minda kami ligat mencanai fakta (menurut penyunting berpengalaman, Haji Othman Abd Hamid) untuk membentuk berita. Setibanya di pejabat, papan kekunci komputer menjadi benda pertama yang disentuh. Sebaik-baiknya, kurang setengah jam, wartawan perlu menyiapkan skrip berita untuk diserahkan kepada penyunting sebelum boleh disiarkan. Tapi kadang-kala kekangan tertentu menyebabkan wartawan hilang tumpuan. Ini termasuk faktor kesihatan, emosi, lapar, kebisingan dan banyak lagi la. Lepas siapkan skrip berita, belum boleh 'lari' lagi, mana la tau jalan cerita kita tu tidak memuaskan hati editor, memanglah editor melenting! Tapi tak apa, itu sebahagian daripada proses peningkatan prestasi. :) Positif ja. Berita sudah siap disunting pun, wartawan belum boleh 'chow' lagi. Kena buat voice over atau rakaman suara latar lagi (untuk TV) la. Lepas tu, boleh blah. TAPI!!! Kalau jadi reader, ada lagi... Kena semak skrip pembaca sebelum ke studio berita untuk disolek dan didandan. Hasilnya? Anda tengok la di TV. ;P
Posted by Aliza Ali at 8:16 AM 2 comments
08 February 2010
"AA, kenapa diorang buat macam tu?"
Maafkan AA jika tidak dapat menjelaskan jawapannya. Apa yang mampu AA katakan, ia di luar bidang kuasa AA. Tanggungjawab AA hanya datang ke studio seawal 5.30-pagi untuk disolek. Selebihnya adalah tugas juru solek (dan juru dandan) serta seluruh kru penerbitan. Di studio, AA cuma penggerak, bukan penentu. Kalau elok pada pandangan penerbit, tiada yang akan membantah. Panggilan sejurus selepas selesai siaran berita (sama ada Nasional atau Wilayah) adalah perkara biasa bagi AA. Dan, bagaikan ahli nujum, AA sudah tahu maksud panggilan itu; untuk memberi pendapat tentang penampilan AA semasa siaran berlangsung. AA hargainya tapi jauh di sudut hati AA, alangkah baiknya jika pendapat itu boleh disalurkan terus kepada penerbit berita sendiri, atau paling tidak pun juru solek (dan dandan). Mungkin blog ini boleh menjadi saksi betapa penonton kesayangan AA mengkritik hebat penampilan AA dalam TV. Itulah yang diharapkan; anda menghantar komen mengenai sebarang isu yang dibincangkan menerusi post-post terkini AA. Terima kasih!
Posted by Aliza Ali at 12:27 PM 0 comments
Type : BLOG
07 February 2010
AA : Wartawan atau pelajar?
Siapalah AA... Sekadar wartawan setahun jagung yang sedang dicungkil bakatnya. Tidak pernah terniat oleh AA untuk menceburi bidang kewartawanan. Sejak di bangku sekolah, prestasi AA khususnya dalam subjek bahasa memang kurang bermasalah. Mungkin sebab AA didedahkan oleh ibu bapa dengan penggunaan bahasa yang betul, tidak kiralah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Cina. AA juga amat berterima kasih sebab memiliki seorang abang saudara iaitu Vun Dat Sang yang sudi mengajar AA dalam subjek Bahasa Inggeris. Beliau yang sebelum itu menyambung pengajian tinggi di Singapura membekalkan buku-buku dan bahan rujukan berguna sepanjang 2-tahun mengajar AA. Beliau jugalah yang mendidik AA untuk menghargai kewujudan kamus sebagai rujukan terpenting. Di sekolah, AA cukup aktif dalam bidang penulisan, debat dan pertandingan-pertandingan anjuran Persatuan Bahasa (Melayu dan Inggeris). AA juga berani meletakkan target untuk mendapat A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk subjek itu. Dan, hasilnya, AA berjaya mencapainya. Berbekalkan prestasi yang baik dalam penguasaan tri-lingual dan keputusan SPM serta Diploma dalam Teknologi Maklumat (PTPL Sabah), AA kemudiannya memohon jawatan Penerbit Rancangan. Lulus dalam ujian bertulis, amali dan temuduga untuk jawatan itu telah melayakkan AA. Setelah 2-tahun berkhidmat di RTM KK, AA kemudiannya meneruskan hasrat lama AA untuk menyambung pengajian ke Peringkat Ijazah dalam bidang Komunikasi, sesuai dengan keperluan jabatan. AA memilih Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama 4-tahun yang akan berakhir 2012. Buat masa ini, AA masih merupakan pelajar hujung minggu selain kekal sebagai wartawan penyiaran. :)
Posted by Aliza Ali at 1:45 PM 0 comments
Type : LOOK FORWARD
05 February 2010
AA jadi bahan eksperimen?
Betulkah? Kenapa? Tak percaya? Itu hakikatnya. Setiap kali AA muncul di TV, ada sahaja luahan tidak puas hati penonton terhadap penampilan AA. Secara peribadi, memang AA sakit hati dengan kritikan telus itu tapi AA akur... Semua itu demi kebaikan malah AA akui kebenaran kritikan itu. Mungkin AA tidak photogenic atau mungkin juga ada sebab lain. AA tidak pasti... Tidaklah AA mahu menyalahkan mana-mana pihak memandangkan kesemua mereka memang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing. Untuk pengetahuan semua, kritikan anda turut AA panjangkan kepada juru solek dan dandan di jabatan ini dan mereka sering melakukan penambahbaikan dalam teknik solekan dan dandanan mereka. Cuma, mungkin belum mendapat teknik yang sesuai untuk AA walaupun sudah hampir 2-tahun AA menyampai berita TV.
Posted by Aliza Ali at 2:06 PM 2 comments
Type : BLOG
04 February 2010
Ramai tak tahu...
Sedikit terkejut apabila disapa 'orang-orang besar' setibanya di satu majlis di mana AA membuat liputan untuk malam itu. Bukan apa... Pemimpin-pemimpin itu seolah-olah tidak percaya, AA yang yang mereka lihat di TV petang itu, datang untuk membuat liputan malam yang sama pula. Bagi AA, itu perkara biasa yang berlaku walaupun agak keberatan untuk 'rush-back-home' untuk bersihkan solekan studio, cuci rambut dandanan studio, mandi dan bersiap pula untuk membuat liputan di majlis lain. Bukan mudah bagi AA... Nampak memang best tapi hakikatnya tidak seindah khabar... Memanglah bukan semua orang boleh 'masuk TV' baca berita, mengulas majlis, bersiaran langsung tapi segala kelebihan itu tida bernilai dari segi wang ringgit sebaliknya ANDA, penonton yang berhak meletak harganya. Siapa kata hati ini tidak memberontak? Cuma tidaklah sampai nampak sangat! Kelebihan yang ada dieksploitasi dengan klausa-klausa tertentu untuk menyedapkan hati yang sememangnya tidak puas hati ini. Tak apa la. AA percaya, segalanya ketentuan Allah, pasti ada hikmah-Nya.
Posted by Aliza Ali at 7:55 AM 0 comments
Type : LOOK FORWARD
28 January 2010
Hari ni AA bertugas menyampai berita dari Sabah untuk Berita Nasional TV1 7-pagi lagi. Adakalanya, tugas ini begitu menyeronokkan, menyedari betapa pentingnya tanggungjawab kita terhadap mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini menerusi media elektronik seperti radio dan televisyen. Namun, apabila tiba soal penampilan, AA sedikit kecewa... Ntah la, sejak menyampai berita, AA lebih banyak menerima komen mengenai penampilan AA di televisyen. Memanglah, komen itu menyakitkan tapi AA sedar, itu tanda penonton sayang akan AA, mahu AA kelihatan hebat di kaca televisyen. Tapi, ketahuilah wahai penonton... AA tidak berupaya melakukan sesuatu yang di luar bidang kuasa AA. Ini bukan sahaja soal solekan dan dandanan semata-mata, adakalanya disebabkan faktor pencahayaan, kedudukan, camera framing, transmission, pakaian dan sebagainya. Bukanlah salah kru penerbitan juga kerana peralatan di dalam studio berita tv juga sudah usang dan outdated, itu hakikat. AA akui berhadapan tekanan setiap kali menerima komen negatif namun AA percaya, semua itu demi kebaikan AA dan mutu siaran berita RTM juga khususnya dari Sabah, Negeri Di Bawah Bayu yang dicintai ini... Apa pun, usaha akan dilakukan dari semasa ke semasa demi memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan persembahan. Terima kasih semua...
Posted by Aliza Ali at 5:30 AM 2 comments
Type : BLOG
12 January 2010
DILEMMA BEKALAN AIR KUALA PENYU, MENUMBOK DAN WESTON
Tarikh 31 Disember 2009 merupakan titik tolak perjuangan AA terhadap dilemma yang dihadapi penduduk Kuala Penyu, Menumbok dan Weston, Beaufort. Pada mulanya, AA agak keliru tentang apa yang perlu dilakukan lantaran tugasan saat akhir yang diberikan Editor Tugasan pada waktu itu yang turut menerima arahan mendadak daripada pihak atasan. AA bagaimanapun akur dengan arahan lalu menghubungi pihak berkaitan. Hari itu terasa begitu payah memulakan misi yang kita sendiri keliru akan matlamatnya. Namun, kerjasama yang baik daripada pihak Jabatan Air Negeri, khususnya Pengarahnya, Ag Mohd Tahir Mohd Talib ternyata banyak membantu dalam perjuangan ini. Terima kasih... Selepas mendapat kebenaran untuk melawat Stesen Pam Kayul di Kuala Penyu dan Loji Air Limbawang di Beaufort, AA beserta jurukamera, Mohd Haji Ali dan pemandu, Jamjin terus bertolak ke destinasi dituju. Dalam perjalanan ke sana, temujanji sudah pun diatur dengan pegawai bertanggungjawab di Kuala Penyu, Haji Jokrie Abdul Marudin. Rancangan untuk bertemu di Loji Air Limbawang, Beaufort terpaksa ditukar ke Stesen Pam Kayul kerana kru kami sudah melepasi jalan yang sepatutnya diikuti. Selepas pertemuan itu, kru kami terus ke Pekan Menumbok untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan penduduk di sana. Jelas, kehadiran RTM menjadi medium aduan mereka yang sudah hampir hilang keyakinan terhadap janji Kerajaan. Titipan khabar gembira tentang wujudnya loji dan stesen pam baharu untuk mengakhiri dilemma mereka bagaikan angin lalu. Mereka seolah-olah dididik untuk tidak terlalu berharap. Jelas, mereka kecewa dengan janji lama yang tidak tertunai. Namun, semua itu menguatkan semangat AA untuk melenyapkan kekecewaan mereka. AA lantas ke Loji Air Limbawang untuk melihat sendiri perkembangan loji baharu yang dikatakan khusus untuk membekalkan 15-juta liter air kepada penduduk di sekitar Kuala Penyu dan Menumbok. Menurut Jokrie dan Jurutera Daerah (DE) Jabatan Air Beaufort, Suhaimi, Stesen Pam Kayul dan Loji Air Limbawang akan beroperasi pada minggu kedua bulan ini. Waktu itu, AA hanya mampu berdoa, semuanya berjalan lancar agar Janji Dikota, Rakyat Dibela. 8 Januari 2010, AA menemui Pengarah Jabatan Air Negeri
Posted by Aliza Ali at 4:12 PM 0 comments
08 January 2010
"Janji Dikota, Rakyat Dibela"
"Janji Dikota, Rakyat Dibela" bukanlah satu frasa baharu dalam pimpinan Kerajaan Barisan Nasional. Namun, frasa ini semakin berkesan dengan Gagasan 1 Malaysia : "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", ilham Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Ekoran itu, selaku penggerak media arus perdana, AA merasakan tanggungjawab mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian patut dipikul bersama, seluruh rakyat Malaysia termasuk wartawan penyiaran seperti AA. Walaupun tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat secara konkrit, namun AA akan memastikan setiap titisan keringat AA di lokasi tidak akan disia-siakan. AA akan pulang dengan satu isu dan kembali dengan penyelesaian isu terbabit. Bukan bertujuan mendesak atau mengampu mana-mana pihak, AA ikhlas atas dasar 1 Malaysia... Anda boleh memberikan cadangan, pandangan dan kritikan membina kepada AA menerusi blog ini. Sokongan anda amat diharapkan. Terima kasih. :)
Posted by Aliza Ali at 10:50 AM 0 comments
Type : LOOK FORWARD