BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Aliza Ali LIVE at TV1 News

Aliza Ali LIVE at TV1 News
Temubual Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPKK Sabah 2011

14 March 2012

Selepas 60 hari CUTI Bersalin...

Selepas 40 minggu hamil, akhirnya AA selamat melahirkan anak ketiga, seorang bayi lelaki pada 4.13 petang, 14 Januari 2012 (Sabtu). Bayi lelaki seberat 2.8 kilogram ini AA dan suami berikan nama Ahmad Nazriff Ziqra Bin Ag Arif. Sejak hari pertama kelahiran bayi ini, AA mula bercuti selama 90 hari. AA begitu mudah melupakan tugas-tugas di pejabat demi menunaikan tanggungjawab menjaga bayi yang baru dilahirkan ini...


Ziqra pada usia 2 bulan


Kini, usia Ziqra sudah mencecah 60 hari... Dan AA perlu membuat persiapan yang perlu untuk kembali bertugas dalam tempoh sebulan lagi. Ini termasuklah menyiapkan sebahagian besar Latihan Ilmiah (LI) bagi pengajian luar kampus AA di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ziqra terpaksa ditinggalkan di rumah bersama pengasuh. Memang berat hati melepaskan, namun terpaksa. AA yakin, LI ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan lancar apabila AA mula bekerja nanti. 


Tugas-tugas di pejabat juga memerlukan perhatian serius, lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum Ke-13 dikhabarkan semakin hampir. Khidmat AA mungkin diperlukan untuk membuat liputan, lintas langsung dan menyunting berita-berita berkaitan. Justeru, segala tugasan di luar kerjaya perlu disiapkan secepat mungkin agar tidak menjejaskan kerja dan pengajian.


Pun begitu, keluarga tetap jadi keutamaan. Itu prinsip AA. Biarpun kata orang aku janji sudah diikrar dan ditandatangani, namun keluarga (suami dan anak-anak) adalah tanggungjawab yang diamanahkan Allah... Dan   urusan ini tidak ada komprominya berbanding urusan dengan majikan. Tetapi ini tidak bermakna AA mengabaikan kerja yang menjadi sumber pendapatan untuk membantu suami dalam melyari bahtera kehidupan berkeluarga ini.


Tiada yang sempurna di dunia ini, begitu juga AA dan orang lain. Kita hanya mampu berusaha untuk memberikan yang terbaik, tetapi tidak berupaya memuaskan hati semua pihak. Semuanya kerana kita memiliki keutamaan masing-masing. Semoga apa yang kita lakukan mendapat berkat dan rahmat Allah s.w.t. Amin.

25 October 2011

Kandunganku mencecah 29 minggu!

Pejam celik... Pejam celik... Masa terus berlalu... Kini, hampir ke penghujung Oktober.

Cabaran kehidupan sehari-hari kian getir dengan tugasan pejabat, ditambah pula semester pengajian (luar kampus) yang dibuka semula selepas bercuti 4 bulan. Ini tidak termasuk tanggungjawab di rumah terhadap suami dan anak-anak.

Adakalanya, diri terasa begitu lemah untuk meneruskan tugasan-tugasan tersebut, lebih-lebih lagi dengan keadaan fizikal yang semakin membesar dengan kandungan mencecah 29 minggu (lebih kurang 7 bulan 1 hari).

Namun, kehidupan perlu diteruskan, biarpun tidak seperti biasa. Apa yang penting, semua tugasan cuba diselesaikan dengan baik dan mengikut masa ditetapkan. Semuanya dilakukan agar tiada pihak yang terbeban.

20 July 2011

SELEPAS LEBIH 6 BULAN KU TINGGALKAN...

Kehadiran tahun 2011 menyaksikan pelbagai perkara baik yang berlaku terhadap diri dan keluargaku. Selain peralihan gred jawatanku, suamiku juga kini telah bertukar jawatan. Perubahan ketara khususnya dari segi bidang tugas ini telah menyebabkan aku semakin sibuk, apa lagi untuk mengemaskini blog.

Tanpa disedari, blog ini sudah ditinggalkan sepi selama lebih 6 bulan.

Dan dalam tempoh itu, banyak sebenarnya berita baik yang aku terima. Antaranya, pemilihan aku untuk mengadiri Forum Belia Asean mengenai Inovasi dan Kreativiti (AYFIC 2011) di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sekembalinya dari Labuan, aku kembali sibuk dengan tugasan universiti dan persiapan menghadapi peperiksaan. Mujurlah, aku memiliki sekumpulan rakan-rakan yang sentiasa memahami... Mereka banyak membantu aku, sama ada dalam memberikan sokongan moral mahupun dalam menyiapkan tugasan berkumpulan.

Peperiksaan akhir semester 6 dilalui dengan tenang... Bagaikan suatu majlis sambutan, tugaan terakhir bagi Kursus Komunikasi dan Strategi Pemasaran yang ditawarkan Pensyarah Dr Mokhtarrudin Haji Ahmad, iaitu Etiquette Dinner perlu disudahkan. Walaupun kekok melalui jamuan malam itu yang terlalu formal, aku menerima kejutan dengan dinobatkan sebagai Queen of The Nite. Suatu kenangan terindah sepanjang pengajianku.

Keesokan harinya, aku terlibat secara langsung dalam Malam Anugerah Kewartawanan Shell Kinabalu 2011 untuk membuat persembahan nyanyian secara berkumpulan bersama rakan-rakan media seperti Emran Azmie Rosle, Janriwine Lusin, Zuraidah, Fiza dan  dengan lagu Di Mercu yang dipopularkan Ayu OIAM.

Tidak disangka, aku yang terlibat dalam membuat kejutan pada malam anugerah itu turut menerima kejutan apabila dinobatkan sebagai Wartawan Harapan yang menerima hadiah jam tangan berjenama Tissot, kamera digital Nikon dan sijil.

Selain itu, kumpulan aku yang terdiri daripada jurukamera Haji Jamir Marman dan Roslia Gondila, penyunting skrip Artika Matbee dan Ibrahim Haji Diman serta penyunting visual Ruslan Daud, Victor Jeprine dan Mat Muidin turut memenangi Anugerah Kewartawanan Penyiaran Alam Sekitar. Kami menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan sijil.

Sebaik sahaja selesai segala kemeriahan itu, aku terus sahaja menumpukan sepenuhnya perhatianku terhadap kandunganku yang ketika itu baru mencecah 6 minggu. 'Morning sicknes' yang aku lalui agak teruk, aku hanya mampu terbaring lemah di katil, di sofa selain terperuk dalam tandas ekoran rasa mual dan loya yang teramat sangat...

Kini, kandunganku sudah mencapai usia 15 minggu. 'Morning sickness' beransur pergi, walaupun masih bersisa. Adakalanya kepalaku pening dan aku tidak mampu berdiri. Namun aku gagahi jua demi menyudahkan tugasan pejabat yang tidak pernah ada penghujungnya.

Aku mula memikirkan tentang pengajianku di UMS. Jumaat lalu, aku ke pejabat PLUMS untuk mengambil keputusan. Syukur dan lega dengan keputusan yang diperoleh. Biarpun aku bukan pelajar terbaik, namun aku yakin keputusan itu bakal memuaskan para penaja pengajianku iaitu pihak Yayasan Sabah dan Yayasan Berjaya. Buktinya, mereka tersenyum puas ketika membelek transkrip keputusan itu. :)

Semua berita gembira yang berlaku sepanjang 6 bulan lalu akan menjadi pendorong untuk aku yang berbadan dua ini lebih tabah menghadapi hari-hari mendatang. Semoga aku mendapat doa dan restu kalian. Terima kasih.

13 December 2010

Usia bukan sekadar angka!

Hairan dengan sikap sesetengah orang yang suka menyembunyikan tahun kelahiran. Kononnya khuatir orang tahu usianya semakin tua. Lebih teruk lagi, ada yang enggan menerima hakikat dengan berkata "Age is just a number".


Bagi AA, USIA BUKAN SEKADAR ANGKA sebaliknya usia menggambarkan kematangan diri dalam menjalani hidup di dunia yang serba mencabar ini. Jika diamati, peningkatan usia setiap tahun adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada hamba-Nya untuk terus hidup dan mencari hidayah-Nya.

Bagi yang berkesempatan untuk 'bertemu' dengan hari ulang tahun kelahiran, bersyukurlah dengan hari yang meraikan kematangan diri anda. Berjanjilah untuk terus mematangkan diri dengan menjalani hidup secara lebih rasional. 

Mengakui hakikat usia yang semakin meningkat juga secara tidak langsung mengingatkan kita tentang kematian. Sesungguhnya, jasad ini hanyalah pinjaman semata-mata dan kita akan kembali kepada-Nya bila tiba waktu itu. Peringatan tentang mati lazimnya berupaya menimbulkan keinsafan pada diri kita sekaligus takut melakukan larangan-Nya.

Secara peribadi, usia yang meningkat setiap tahun bagi AA adalah istimewa kerana ulang tahun kelahiran adalah 'penutup usia terdahulu dan pembuka usia seterusnya' lebih-lebih lagi kita tidak pernah tahu bilakah 'penutup usia terakhir' masing-masing.

Sempena ulang tahun kelahiran kali ini, AA mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada suami, ibu bapa dan semua yang mengenali diri AA atas segala keterlanjuran kata dan tingkahlaku AA terhadap kalian. Sesungguhnya AA hanya insan biasa yang serba kekurangan dan tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan sama ada yang disengajakan apatah lagi yang tidak disengajakan.

Maafkanlah,

Aliza Ali

10 December 2010

Qadiani - Tidak Seindah Nama

Tidak seindah nama... Qadiani merupakan satu ajaran yang hampir menyerupai ajaran Islam tetapi sebenarnya terkeluar daripada Islam. Ajaran yang turut menggunakan Al-Quran sebagai kitab rujukan dan menganjurkan sembahyang Jumaat ini bagaimanapun difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan 1976 sebagai terkeluar daripada Islam.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Amri Suratman sehubungan itu menasihatkan umat Islam menjauhi ajaran yang bercanggah dengan Islam ini. Katanya, mereka yang ingin mendalami ajaran Islam boleh mempelajarinya daripada pegawai-pegawai JHEAINS yang bertauliah.

Ajaran Qadiani yang berasal dari Negara India ini telah bertapak di Sabah lebih sedekad lalu, malah ada penduduk tempatan sudah menjadi pengikut ajaran Qadiani yang semakin merebak di seluruh negeri. Bagaimanapun, usaha sedang dijalankan di peringkat kebangsaan untuk mengkaji semula fatwa terhadap Qadiani sama ada ia kekal sebagai ajaran bukan Islam atau menyeleweng ajaran Islam.

16 October 2010

Tragedi Oktober

Assalammualaikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia...

Selain berita kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah, Kota Kinabalu dikejutkan lagi dengan berita kehilangan seorang jururawat berusia 39-tahun yang bertugas di Kudat. Apa yang menjadi misteri, kereta Perodua Kancil milik beliau ditemui berhampiran Dewan Masyarakat Kota Kinabalu pada hari sama. Kurang 3-hari, orang ramai dikhabarkan mengenai penemuan mayat wanita itu di dalam parit berhampiran perumahan Taman Ujana Kingfisher, Likas. Mayat beliau dikatakan ditemui beberapa kanak-kanak yang memetik sayur di kawasan semak berhampiran kira-kira pukul 11-pagi Isnin. AA dan jurukamera, Roslia Gondila terus bergegas ke lokasi penemuan mayat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Di lokasi kira-kira pukul 12-tengahari, kami melihat polis sudah meletakkan garisan kuning yang menghalang orang awam daripada memasuki kawasan larangan bagi membolehkan pasukan forensik melakukan siasatan awal. Setibanya di sana, sudah pasti mayat wanita menjadi sasaran anak mata kami namun hampa... Kami diberitahu bahawa mayat belum diangkat daripada parit di mana mangsa ditemui mati. Kami juga tidak menghidu sebarang bau mayat. Apa yang kelihatan, hanyalah 6-label kuning yang diletakkan pasukan forensik sebagai tanda bahan bukti yang mungkin boleh membantu siasatan lanjut kes kematian jururawat malang itu.

Kira-kira 1.30-tengahari, kami melihat pasukan polis mula menunjukkan tanda untuk mengangkat mayat keluar daripada parit berkenaan. Mayat selamat dikeluarkan kira-kira pukul 2-petang dan suasana sedih semakin menyelubungi lokasi tersebut. Pemergian jururawat itu amat tidak diduga oleh ahli keluarga yang ternyata terlalu menyayanginya. Mayat berkeadaan mula mereput itu berkeadaan separuh bogel dan cedera di bahagian kepala.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Tan Kok Liang yang membuat kenyataan media memberitahu, polis akan meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematian dan suspek kes itu.

13 August 2010

Ramadan al-Mubarak

Alhamdulillah... Kita dipertemukan lagi dengan bulan penuh keberkatan, Ramadan al-Mubarak. Semoga Ramadan kali ini mampu memberi keinsafan kepada kita semua. Dalam kesempatan ini, AA ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga segala ibadah kita mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t. AA juga ingin memohon kemaafan atas segala keterlanjuran kata dan tingkah laku yang menyinggung perasaan semua pihak. Sesungguhnya kita hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Akhir kata, semoga kita semua dikurniakan kesihatan sepanjang bulan Ramadan ini untuk menjalankan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain. Assalammualaikum, Salam 1 Malaysia.

15 July 2010

E-WASTE PERLU PENYELESAIAN SEGERA

Tahukah anda? Kekerapan menukar telefon bimbit atau barangan elektrik dan elektronik lain boleh menyebabkan masalah kesihatan dan pencemaran yang serius? Ini kerana tabiat itu akan menambahkan lagi jumlah bahan buangan barangan elektrik dan elektronik atau e-waste yang berbahaya jika tidak dikendalikan dengan betul.

E-waste seharusnya diurus dengan kaedah yang betul dan sistematik. Ini kerana bahan buangan daripada peralatan elektrik dan elektronik ini mengandungi bahan pencemar yang berbahaya seperti kromium, kadmium dan plumbum. Sebagai contoh, papan printed circuit mengandungi nikel, timah dan plumbum.

E-waste yang dibuang dengan cara yang tidak betul bukan sahaja boleh mencemarkan alur air, air tanah, atmosfera dan tanah-tanah malah boleh menyebabkan keracunan kepada manusia dan hidupan lain. Ia juga boleh menyebabkan penyakit barah, merosakkan kulit dan tisu badan selain mengakibatkan kebakaran di tapak pelupusan sampah.

Menyedari kesan negatif itu, satu sistem pengurusan e-waste dari industri telah diwujudkan termasuk satu di Sabah yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah. Bagaimanapun, syarikat ini hanya boleh mengangkut e-waste dari industri ke Semenanjung Malaysia atau Sarawak untuk dilupuskan. Ini kerana, negeri ini belum mempunyai kemudahan untuk mengendalikan e-waste dari proses pengumpulan, pengasingan dan pelupusan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan jumlah e-waste di negeri ini menimbulkan kerisauan yang memerlukan penyelesaian segera dilakukan bagi mengatasinya.
"Di mana hendak dibuang, adakah DBKK akan membuangnya juga di Kayu Madang".

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi dan pengilang barangan elektrik dan elektronik merupakan pihak paling sesuai untuk menguruskan e-waste. Ini kerana, sebagai pengeluar, mereka lebih mengetahui cara menguruskan barangan keluaran mereka berbanding pengguna.

Cadangan juga dikemukakan kepada pihak tersebut untuk melaksanakan Skim Beli Semula untuk menggalakkan kerjasama masyarakat. Pada masa sama, Kerajaan juga wajar mempertimbangkan pemberian insentif kepada pihak pelaksana skim tersebut sama ada dalam bentuk pengecualian cukai atau sebagainya.

Kini, terpulanglah kepada kita untuk memainkan peranan masing-masing. Anda sudah tahu e-waste boleh membahayakan, jadi jangan buang e-waste di merata tempat. Buanglah di tempat yang menyediakan kemudahan pengumpulan e-waste.

p/s : JAS mempunyai satu kotak untuk anda meletakkan bateri terpakai yang sudah rosak atau tidak digunakan lagi.

14 July 2010

Anugerah Kewartawanan Kinabalu Shell 2010


Beberapa koleksi gambar AA bersama rakan-rakan Unit Berita Ehwal Semasa (BES) RTM Kota Kinabalu yang hadir pada Malam Anugerah Kewartawanan Kinabalu Shell 2010

Kehadiran AA pada malam itu sebenarnya diselubungi sedikit perasaan kecewa kerana tidak dapat menghantar penyertaan untuk pencalonan mana-mana kategori dipertandingkan. 

Bukan tidak mahu tapi tidak ada! Tidak sangka juga waktu siaran untuk penyertaan kali ini agak singkat iaitu bermula Mei 2009 hingga Disember 2009 sahaja. Kebetulan pula, bahan-bahan yang ingin AA pertandingkan tidak disiarkan dalam tempoh itu.

Pun begitu, AA akan menghantar penyertaan untuk pencalonan tahun depan. Insya-Allah... Dan AA juga merancang menghasilkan lebih banyak laporan untuk manfaat rakyat. Teruskan bersama AA. Terima kasih.

07 June 2010

Mei 2010 berakhir dengan Lintas Langsung Kaamatan


Bulan Mei yang penuh kemeriahan tahun ini berakhir dengan satu lagi keriuhan Pesta Kaamatan 2010 di Hongkod Koisaan, Penampang, Sabah. AA yang baru sahaja selesai menduduki Peperiksaan Akhir Semester 2 Tahun 2 di Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) pada 27 Mei bergegas membuat persiapan untuk laporan (lintas langsung) berita TV1 11-pagi dan 1-tengahari.

Lintas langsung yang diterajui penerbit, Affendi Abdul Karim pada hari itu berjalan lancar dan penuh keseronokan. Sekali lagi, ia memberikan AA suatu pengalaman yang cukup bermakna dalam dunia kewartawanan penyiaran di RTM. AA amat menghargai peluang yang diberikan.

AA juga berterima kasih kepada semua tetamu yang sudi ditemubual secara langsung pada hari itu, artis tempatan, Janri Wine dan Esther Apolonius serta Naib Presiden Persatuan Bisaya Bersekutu Sabah (PBBS), Haji Ruslan Haji Muharam.

SEKALUNG PENGHARGAAN BUAT SEMUA...


16 May 2010

Putra Celebrating Birthdays with ATUK...


Hari Ulang Tahun Kelahiran bapa & Putra disambut sederhana... Apa yang penting, doa sentiasa mengiringi agar bapa & Putra dikurniakan kesihatan, dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah s.w.t. Amin.

10 May 2010

Istimewa untuk mama tersayang. "Selamat Hari Ibu".




AA tidak tahu apa lagi caranya untuk menggembirakan mama... Mau masak, mama lagi terror! Malu eh... Mau bawa mama pi melancong, bajet pula tidak mengizinkan. Mau beli hadiah, tiada idea mau beli apa pula! Jadi, AA ambil keputusan untuk menempah home made cake dari seorang rakan facebook, Mylla di Taman Seri Maju Sepanggar. :)

Kek yang dibeli khas untuk mama tiba-tiba jadi kek kami berdua pula! Hahaha... Maklumlah, AA pun ibu juga.

Selepas kami bergambar, potong kek dan makan bersama, AA bawa bapa, mama & keluarga makan di Old Town White Coffee. Saja... Santai2. It's a happy moments for us! Happy Mother's Day 2010.




Hari Ibu yang indah buatku...

Tarikh 14 Mei 2006 merupakan tarikh keramat dalam hidupku. Tarikh yang mengesahkan kedudukanku sebagai seorang ibu. Aku selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang kami (aku dan suamiku) namakan sebagai Putra (atau nama penuhnya Awang Muhammad Nazliff Putra Bin Ag. Arif).


Masih segar dalam ingatanku, bermula detik 12-tengah malam 14 Mei itu, selepas menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran mendiang nenek (sebelah ibuku), seluar yang ku pakai habis basah kuyup dengan air yang terasa panas entah dari mana datangnya. Ketika itu, ibuku memberitahu, "Alahhh... Pecah sudah air ketuban!" Aku jadi panik seketika. Mujurlah ibuku menenangkanku... Kami kemudiannya balik ke rumah dan aku sempat mandi sebelum dihantar suami dan keluargaku ke Hospital Likas (kini Hospital Wanita dan Kanak-Kanak). Selepas menunggu kira-kira 14-jam tanpa sebarang kesakitan yang sering diceritakan sebagai amat dahsyat, aku selamat melahirkan Putra tepat pukul 2.51 petang. Dan ketika itu, doktor, bidan dan juru rawat yang banyak membantuku menghadiahkan ucapan yang pertama kali ku terima iaitu "Selamat Hari Ibu".


Kini, aku memiliki 2 orang anak lelaki yang usianya hanya berbeza 11 bulan 2 minggu! Putra akan berusia 4-tahun (beberapa hari lagi) dan Indra pula 3-tahun. Kedua-dua 'kesayangan' kami ini dihantar ke taska bagi memberi pendedahan awal kepada mereka tentang pergaulan dan disiplin selain menyuntik ilmu pendidikan awal kepada mereka. Sempena Hari Ibu tahun ini, mereka masing-masing menghadiahkanku gelang buatan mereka sendiri dengan bantuan guru-guru di taska itu. Apa yang membuatkan naluri keibuanku tersentuh, mereka sendiri memakaikan gelang itu ke tanganku dan berkata "Putra/Indra yang buat gelang ni. Mama pakai, jangan buka k. Putra/Indra sayang mama..."

06 May 2010

Mei...

Bulan Mei datang lagi... Bulan yang popular dengan musim cuti sekolah dan Pesta Kaamatan (di Sabah) ini sering menjadi pilihan pasangan mempelai untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Pada bulan inilah kebanyakan orang akan bercuti bersama keluarga, menerima undangan majlis perkahwinan dan rumah terbuka kaamatan daripada rakan-rakan Kadazan Dusun Murut.

Secara peribadi, bulan Mei amat istimewa bagi AA dan keluarga kerana ia hampir dengan hari-hari kemeriahan keluarga AA. Apa tidaknya, ramai yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan ini. Hari kelahiran anak bongsu AA, AMN Indra pula hanya 4 hari sebelum ketibaan Mei; iaitu 28 April lalu.

Pada bulan ini, hari ulang tahun kelahiran istimewa bagi keluarga AA bermula dengan hari jadi adik AA, Siti Sabella iaitu pada HARI INI, 6 Mei. Sayangnya, Lala sekarang berada di Kem PLKN, Selangor... Hari-hari istimewa dalam bulan ini akan disusuli dengan sambutan Hari Ibu pada Ahad ini, 9 Mei dan AA memang merancang untuk menyambutnya bersama mama tersayang... Selepas berakhir minggu ini, tiba pula hari ulang tahun kelahiran bapa AA, Ag Ali Mohali iaitu pada 12 Mei dan diikuti ulang tahun kelahiran anak sulung AA, AMN Putra 2-hari selepas itu; 14 Mei.

Apa yang pasti, kami sekeluarga akan sibuk sepanjang bulan ini untuk membuat sambutan kecil memperingati hari istimewa ini...

15 April 2010

OKU JUGA BERUPAYA!

AA tidak dapat membayangkan bagaimanakah perasaannya jika tiba-tiba kehilangan upaya. Namun, AA pasti, kehilangan upaya bukan sahaja menyebabkan kesakitan fizikal malah merangkumi penderitaan mental dan spiritual yang cukup dahsyat.

Bagi mereka yang dilahirkan dalam keadaan normal tetapi kehilangan upaya secara tiba-tiba disebabkan penyakit atau bencana kerja, hakikat ini sememangnya sukar diterima.

Keupayaan yang sebelum ini membolehkan kita bekerja kini sudah terhad. Namun, golongan OKU ini masih berpeluang untuk bekerja semula atau berniaga mengikut kemampuan masing-masing.

Peluang ini boleh didapatkan menerusi Program Return To Work (RTW) yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Walaupun baru diperkenalkan di Sabah pada akhir tahun 2009, RTW sudah berjaya melahirkan seorang Peniaga OKU di Kota Kinabalu.

Di Semenanjung Malaysia pula, RTW berjaya mengembalikan 977-OKU untuk bekerja semula atau berniaga dalam tempoh 3-tahun pelaksanaannya.

Menerusi RTW, Perkeso akan menanggung semua kos rawatan dan alat bantuan yang diperlukan OKU untuk membolehkan mereka bekerja semula.

Selain itu, Perkeso juga akan membantu peserta OKU mencari majikan yang mahu menggajikan mereka. Buat masa ini, seramai 17-OKU sedang menjalani program ini di Sabah.

13 April 2010

TEH GAHARU?

Pagi tadi, AA bersarapan dengan minuman Teh Gaharu, salah satu buah tangan daripada Majlis Perasmian Seminar Perladangan Karas & Pengeluaran Gaharu di Grand Ballroom, The Pacific Sutera, Kota Kinabalu kelmarin.

Bukan sahaja memiliki bungkusan yang menarik, Teh Gaharu ini juga bebas gula mahupun pemanis tiruan. Dibuat daripada daun Gaharu dari Kuala Lipis, Pahang, Mulberry dari Malaysia dan rooibos dari Afrika Selatan, teh ini turut ditambah dengan pemanis semulajadi daripada daun Stevia yang berasal dari Turki.

AA agak cerewet dalam pemilihan teh. Namun, bungkusan yang menarik ditambah pula keunikan teh ini diperbuat daripada daun Gaharu serta Stevia menarik minat AA untuk mencuba. Ternyata, nikmatnya memang berbeza daripada teh-teh lain yang pernah AA minum. Aroma tehnya mendamaikan, rasanya pula manis semulajadi.

Jadi, jangan tak percaya kalau pokok gaharu banyak gunanya! Bukan sahaja damarnya yang boleh dijadikan bahan untuk membuat minyak wangi, ubat-ubatan selain digunakan untuk upacara keagamaan, kayunya pula boleh dijadikan perabot bernilai tinggi.

Penglibatan para pengusaha dalam industri hiliran gaharu mampu meningkatkan nilai eksport negara di samping memaksimumkan potensi gaharu secara mapan. :)

10 April 2010

BANYAK LAGI KAWASAN LUAR BANDAR YANG TIADA BEKALAN AIR BERSIH

Lawatan bersama ADUN Pantai Manis, YB Datuk Haji Abdul Rahim Ismail dan ADUN Kawang, YB Datuk Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar ke Kampung Padawan, Papar mendorong AA untuk terus menulis mengenai keluh-kesah penduduk luar bandar di negeri ini.


Kampung Padawan, merupakan salah sebuah daripada 26-kampung yang masih tidak menerima bekalan air bersih. Dalam usia kemerdekaan yang hampir mencecah 53-tahun (atau 47-tahun bagi Sabah), mereka sewajarnya tidak lagi bergantung seratus peratus kepada bekalan air semulajadi seperti air hujan, telaga atau sungai.

Namun, itulah hakikatnya... Tinjauan AA ke kampung itu pada musim kemarau yang lalu mendapati, ketiadaan hujan dan keadaan sungai dan telaga yang semakin kering menyebabkan penduduk kampung tersebut mengalami kesukaran yang sukar digambarkan.

Menurut salah seorang penduduk kampung itu, Helena Kiang, walaupun terpaksa menggunakan air telaga yang keruh untuk mandi, mencuci malah memasak, ia tetap dianggap sebagai rahmat yang cukup bernilai.

Kedua-dua wakil rakyat itu kemudiannya turut melawat Loji Rawatan Air Kogopon, Papar yang mampu membekalkan 40-juta liter air sehari kepada seluruh penduduk Daerah Papar.



31 March 2010

RUMAH PENTADBIRAN TUN DATU MUSTAPHA - DESTINASI PELANCONGAN BERASASKAN SEJARAH

Satu lagi destinasi pelancongan berasaskan sejarah akan dibuka di negeri ini dalam tempoh 6-bulan akan datang. Terletak di Kampung Kerasik, Pitas, rumah pentadbiran mantan Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun kini sedang dalam proses pembaikan. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Haji Ismail berkata, kerja-kerja penggantian kayu yang rosak di rumah itu sedang giat dilaksanakan dengan jumlah peruntukan 50-ribu ringgit. Selain itu, peruntukan tahunan sebanyak 50-ribu ringgit juga disediakan secara berperingkat-peringkat dalam usaha memulihara rumah berkenaan. Menurut Datuk Bolkiah, rumah yang pernah didiami Allahyarham Tun Datu Mustapha sejak pemerintahan Usno itu mempunyai nilai sejarah tersendiri yang mampu menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negeri. Selain menjejaki tempat-tempat bersejarah di negeri ini, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar juga menyediakan sejumlah peruntukan besar untuk membeli bahan artifak daripada individu dalam negeri ini.

12 March 2010

Penduduk Weston Lega Perbekalan Air Bersih Bertambah Baik

Kira-kira 4-ribu penduduk Weston, dalam Daerah Beaufort menarik nafas lega apabila masalah bekalan air bersih yang mereka hadapi sejak lebih sebulan lalu, berjaya diatasi dengan Pembukaan Loji Air Limbawang, Beaufort awal tahun ini. Walaupun loji berkenaan tidak membekalkan air secara langsung ke Weston, namun pembukaan loji air baharu itu menghasilkan lebihan air sebanyak 4.5-juta liter sehari yang disalurkan kepada Loji Air Lama di Batu 58, Beaufort untuk disalurkan ke kawasan Weston, Lubok dan Lingkungan. Sebelum pembukaan Loji Air Limbawang, Weston hanya menerima 1-juta liter air sehari dari loji sedia ada. Namun, keadaan tersebut berubah apabila loji air baharu ini yang dibina untuk menyalurkan air ke Kuala Penyu dan Menumbok, membolehkan 2.5-juta liter air di loji lama disalurkan ke Weston. Kami sempat bertemu dengan Pemaju Mukim Weston, Junaidi Omarali yang menceritakan keceriaan penduduk di 9-buah kampung dalam mukim tersebut yang kini menjalani kehidupan lebih selesa selepas masalah air yang mereka hadapi diatasi. Junaidi bagaimanapun berharap, catuan bekalan air bersih di Weston bermula 10-pagi hingga 3-petang dapat diatasi segera. Selain itu, penduduk juga memerlukan tangki simpanan air baharu untuk kegunaan kegunaan penduduk pada waktu terdesak bagi menggantikan tangki lama yang megalami kebocoran teruk dan terlalu uzur untuk digunakan. Seorang peniaga di Pekan Weston, Rosni Kalong pula bersyukur dengan keprihatinan wakil rakyat kawasan itu dan pihak bertanggungjawab yang mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah mereka. Sementara itu, Jurutera Air Daerah Beaufort, Suhaimi Haji Hasbullah ketika ditanya mengenai masalah catuan air di Weston meberitahu, catuan terpaksa dilakukan bagi menggilirkan perbekalan air ke kawasan Lubok dan Lingkungan. Katanya, perancangan untuk menaiktaraf rangkaian perpaipan dan penggantian tangki simpanan di Weston akan dilakukan pada tahun ini.

11 March 2010

Gangguan bekalan air di Menumbok & Kuala Penyu

Lagi isu air di Menumbok dan Kuala Penyu. Penduduk di kedua-dua daerah itu mengalami gangguan bekalan air bersih yang tidak menentu walaupun setelah Loji Air Limbawang yang berkapasiti 15-juta liter air sehari beroperasi sepenuhnya sejak pertengahan Februari lalu. Ikuti laporan wartawan, Aliza Ali dan jurukamera, Faizal Ahmad yang meninjau masalah itu. Jika anda masih ingat, awal Januari lalu, kami pernah memaparkan kisah penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok yang mengalami masalah bekalan air bersih. Laporan yang mendapat perhatian Jabatan Air Negeri Sabah itu kemudiannya disusuli dengan pembukaan Loji Air Limbawang. Namun panas tidak sampai ke petang. Isu bekalan air bersih yang dijangka selesai beralih kepada masalah kebocoran paip sepanjang 24-kilometer menghubungkan Loji Air Limbawang dengan Kuala Penyu dan Menumbok. Jurutera Air Daerah Beaufort, Suhaimi Haji Hasbullah yang mengakui masalah itu menjelaskan, kebocoran paip berpunca daripada tekanan air yang kuat dari loji baharu selain faktor keuzuran paip yang berusia lebih 20-tahun. Tambahnya, dalam tempoh kurang 2-bulan, 13-kebocoran paip sudah berlaku dan setiap kebocoran mengambil masa sekurang-kurangnya sehari untuk diperbaiki. Suhaimi yang ditemui di Jabatan Air Beaufort juga menjangkakan gangguan tersebut akan berterusan selagi rangkaian perpaipan itu tidak diganti. Beliau bagaimanapun memberitahu, cadangan menaiktaraf keseluruhan rangkaian perpaipan itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia KeSepuluh (RMK-10).